Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Samy Vellu berkata, mereka yang mahu menggunakan sebarang kemudahan, mestilah bersedia untuk membayarnya.

Beliau menegaskan demikian ketika ditanya mengenai justifikasi kenaikan 60 peratus kadar tol bagi Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).

"Sesiapa mahu kemudahah, maka dia mesti membayarnya. (Ianya sama) di mana-mana di dunia ini, bukan sahaja di sini. Tol paling murah di dunia adalah di Malaysia," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini.

"Apabil hampir musim perayaan, cuba guna jalan persekutuan. Jika anda (pulang) untuk perayaan Hari Raya (Aidilfitri), kita akan sampai ke destinasi kita selepas hari perayaan," katanya berseloroh.

Menurut Samy, kadar tol di negara ini adalah yang paling murah berbanding dengan negara lain seperti Thailand, Indonesia dan Filipina.

Beliau turut memberi kadar perbandingan itu Lebuhraya Plus di Malaysia (RM0.136 sekilometre), Filipina(RM0.355), Thailand (RM0.227), China (RM0.276) dan Indonesia (RM0.148).

Sebelum itu, Samy mengumumkan kenaikan kadar tol di lima lebuhraya di Lembah Kelang sebanyak 20 hingga 60 peratus, berkuatkuasa 1 Januari ini.

Bayaran pampasan

Menurutnya, walaupun kerajaan membenarkan kenaikan kadar tol tersebut, tetapi ia masih perlu mengadakan sejumlah RM2.58 bilion untuk membayar pampasan kerana kadar itu tidak selaras dengan perjanjian konsesi yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak.

"Kita masih perlu membayar jumlah pampasan yang besar. Kita terpaksa mengimbangi pengurangna kadar tol yang kita kutip daripada orang ramai...kerajaan kena membayar bakinya.

"Bagi LDP misalnya kerajaan membayar 50 sen bagi setiap kereta yang menggunakan lebuh raya itu kerana mengikut konsesi kadar tol baru sepatutnya RM2.10 dan bukan RM1.60 seperti yang kita telah umumkan," ujarnya.

Samy berkata, mengikut perjanjian konsesi, kadar baru tol bagi kelima-lima lebuh raya itu dikira lebih tinggi dari kadar yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, peratus kenaikan kadar tol bagi LDP ialah 60 peratus, Lebuhraya Shah Alam (47), Lebuhraya Cheras-Kajang (43) (Batu 9) dan 50 peratus (Batu 11), Lebuhraya KL-Karak (25) (Gombak), dan 20 peratus (Bentong) dan Lebuhraya Guthrie (40).

Menurutnya, jumlah pampasan tersebut termasuk pembayaran tunai kepada syarikat konsesi serta lanjutan tempoh konsesi. Berita asal