Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur yang dipengerusikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendengar sembilan pertuduhan terhadap Presiden Amerika Syarikat George W. Bush, Perdana Menteri Britain Tony Blair selain Perdana Menteri Australia John Howard kerana penderitaan yang ditanggung rakyat Iraq, Lebanon dan Palestin.

Pertuduhan terhadap Amerika Syarikat dan sekutunya itu dibentangkan oleh peguam perundangan bagi pihak mangsa jenayah perang, Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya Matthias Chang di hadapan Dr Mahathir dan lima anggota lain suruhanjaya itu pada hari terakhir persidangan jenayah perang selama tiga hari yang dianjurkan oleh Pertubuhan Keamanan Sejagat Perdana, semalam.

Chang berkata Bush, Blair dan Howard sengaja merancang melakukan penipuan, pembohongan dan pemalsuan bagi memperdayakan anggota Kongres serta Parlimen masing-masing supaya melancarkan perang ke atas Iraq yang merupakan "jenayah terhadap keamanan."

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, mereka bertiga turut didakwa memulakan kempen bersistematik untuk memusnahkan Iraq, Lubnan, Palestin, secara ekonomi dan ketenteraan, katanya.

Beliau berkata pertuduhan ketiga terhadap mereka ialah mengarahkan pemusnahan kemudahan penting penduduk awam di Iraq, Lubnan dan Palestin manakala keempat pula kerana mengebom sekolah, hospital, masjid, gereja, kawasan perumahan, tapak bersejarah dan dengan senangnya melabelkan pemusnahan itu sebagai "kerosakan sampingan".

Ketiga-tiga pemimpin itu turut didakwa kerana membenarkan penggunaan senjata pemusnah besar-besaran, termasuk bom berangkai yang mengakibatkan kematian dan penderitaan terhadap sasaran awam, kata Chang.

Cabul hak asasi manusia

Pertuduhan keenam menyatakan bahawa Bush, Blair dan Howard secara palsu telah memanipulasi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan selain menyogok anggotanya supaya melakukan jenayah terhadap keamanan, katanya.

Menerusi perilaku sedemikian, Chang berkata mereka bertiga telah memusnahkan persekitaran Iraq, Lebanon dan Palestin.

Pertuduhan kelapan ialah bahawa Bush, Blair dan Howard mengarahkan serta membiarkan pelanggaran hak asasi manusia, khususnya penduduk awam di penjara Abu Ghraib di Iraq, Teluk Guantanamo, Cuba di samping penjara lain yang diketahui dan tidak diketahui di Iraq, Lebanon, Palestin serta tempat lain di dunia.

Pertuduhan lain menyebut bahawa Bush, Blair dan Howard secara bersistematik telah mengawal, memanipulasi, mengarah dan memberi maklumat salah kepada media massa bertujuan mencetuskan peperangan bagi mencapai matlamat ketenteraan mereka di Iraq, Lebanon dan Palestin.

Di samping mendengar pertuduhan terhadap ketiga-tiga pemimpin terbabit, suruhanjaya itu turut mendengar keterangan beberapa mangsa jenayah perang, termasuk Najwa J.A. Jalamna, 16, dari Jenin, Palestin; Abbas Abid, mangsa yang terselamat dalam pembunuhan besar-besaran di Fallujah, Iraq; Ketua Pengarang Al-Intiqad & Al-Manar TV (Lebanon), Ibrahim Mousawi selain Aktivis Keamanan Palestin Dr Walid Salah Al-Khatib.

Dr Mahathir berkata, suruhanjaya berkenaan akan memberi respons kepada beberapa petisyen mangsa jenayah perang dan menyiasat aduan mereka.

"Kami menghargai kewujudan beberapa tribunal lain tetapi ada terlalu banyak aduan, tribunal lain mungkin tidak berupaya mendengar aduan itu. Kami merasakan terdapat keperluan untuk mewujudkan tribunal ini (Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur) dan memberi peluang kepada mangsa perang terbabit untuk menyuarakan aduan mereka serta menebus ketidakadilan," katanya.

Suruhanjaya itu akan menyiasat sebarang aduan mangsa perang dan kemudian mengemukakan laporan kepada tribunal yang akan ditubuhkan itu, yang ketika ini masih di peringkat sementara.