DAP menasihatkan semua pengundi supaya menyemak sama ada nama mereka masih ada dalam senarai pemilih bagi mengelak mereka menjadi mangsa manipulasi senarai tersebut.
Gesaan tersebut dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa berlaku manipulasi dalam senarai pemilih bagi kerusi Parlimen Kota Melaka.
Berikutan itu, dakwanya, jumlah pengundi dalam kawasan Parlimen berkenaan kurang 521 orang kepada 82,260 orang pada 2006 berbanding 82,781 sewaktu pilihanraya umum 2004.
Dalam satu kenyataan hari ini, Lim mendakwa, hanya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi DAP dalam kawasan Parlimen Kota Melaka berlaku pengurangan jumlah pengundi.
Menurutnya, DUN Kota Laksamana kehilangan 298 pengundi dan DUN Bandar Hilir kehilangan 900 pengundi manakala jumlah pengundi di DUN yang diwakili Barisan Nasional (BN) semakin bertambah.
Berikutan itu, Lim menggesa Suruhanya Pilihanraya (SPR) mereformasikan 10 bidang bagi memastikan pilihanraya yang dijalankan adalah adil, bebas dan bersih.
Elak penyelewengan
1. Menggunakan dakwat tidak boleh padam dan pengiraan undi pos diawasi oleh ejen semua calon yang bertanding bagi mengelak berlaku penyelewengan.
2. Tidak lagi menerima senarai pemilih yang tidak bersih. Menurut Lim, kewibawaan dan integriti senarai pemilih adalah faktor terpenting dalam memastikan pilihanraya yang adil, bebas dan bersih.
Menurut Lim, HakimDatuk Muhammad Kamil Awang telah membatalkan keputusan pilihanraya Likas di Sabah sebelum ini atas alasan senarai pemilih 1998 bagi kerusi tersebut tidak sah kerana wujud pengundi hantu dan rakyat asing turut mengundi.
Selepas penghakiman tersebut, katanya, Akta Pilihanraya 1958 dipinda pada 30 Mei 2002 di mana Seksyen 9A dengan jelas menyatakan, apabila senarai pemilih disah dan diwartakan, ia adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan atau diketepikan oleh mana-mana mahkamah.
Dalam lain perkataan, katanya, walaupun senarai pemilih tidak sempurna dan mempengaruhi keputusan pilihanraya, keputusannya adalah sah dan pindaan tersebut menutup sebarang ruang perundangan untuk mencabar kredibiliti senarai pemilih berkenaan.
3. Menghapuskan Seksyen 9A, Akta Pilihanraya. Lim menggesa SPR mencadangkan kepada kerajaan supaya memulihkan hak rakyat untuk mencabar senarai pemilih yang membabit penipuan sebagai mencukupi untuk membatalkan sesuatu pilihanraya dengan menghapuskan Seksyen 9A.
Manakala SPR, katanya, bertanggungjawab sepenuhnya untuk melakukan pembersihan terhadap senarai pemilih bagi memastikan kredibilitinya.
Dalam pilihanraya umum yang lalu, terdapat sekurang-kurangnya tiga versi senarai pemilih yang diedarkan dan banyak nama pengundi yang sah, telah dipotong dari senarai pemilih di Selangor. Insiden seumpama itu tidak patut dibiarkan berulang, katanya.
Lim juga menggesa SPR supaya mengurangkan harga jualan versi elektronik senarai pemilih. Sebaliknya, kata beliau, senarai pemilih seharusnya dilihat sebagai maklumat awam yang boleh diperolehi semua pilih secara yang paling mudah.
Hadapi karenah SPR
4. Pendaftaran pengundi. Lim mendakwa, DAP menghadapi pelbagai karenah daripada pejabat SPR negeri untuk menjalankan pendaftaran pemilih.
Sebagai contoh, katanyanya, SPR Selangor enggan mengadakan dua pendaftaran tersebut, atas alasan tidak selesa dengan idea menjalankan pendaftaran di pasar dan restoran orang Cina.
Lim juga mendakwa, pegawai SPR Selangor tidak mahu menjalankan pendaftaran pengundi di tempat tiada hawa dingin, manakala SPR Wilayah Persekutuan pula tidak mahu menjalankan pendaftaran pengundi dalam kawasn gereja.
Katanya, alasan yang diberikan itu berunsur diskriminasi kaum dan agama dan bercanggah dengan perlembagaan kerana menafikan hak pemilih untuk mendaftar dan mengundi.
Menurut Lim lagi, dalam suratnya kepada pengundi di DUN Kota Laksamana, yang bertarikh Mac 2007, Penolong Setiausaha Operasi SPR, Abdul Hamid Ali meminta mereka mengesahkan sama ada masih lagi tinggal di kawasan pilihanraya tersebut.
Daripada 28 DUN di Melaka, hanya pengundi di kawasan Kota Laksamana sahaja yang dikehendak berbuat demikian. Mengapa DUN lain dikecualikan?
Sama ada secara kebetulan atau tidak, DUN Kota Laksamana diwakili oleh DAP dan ini menimbulkan syak wasangka bahawa tindakan itu bertujuan untuk melemahkan sokongan kepada pembangkang dan mencerahkan peluang BN menang di Kota Laksamana dan kerusi Parlimen Kota Melaka, kata Lim.
Ambil tindakan
5. Kesalahan pilihanraya. Lim berkata, SPR tidak akan menjadi sebuah badan bebas selagi ia tidak menguatkuasakan undang-undang pilihanraya terhadap calon-calon BN yang membelanjakan lebih RM110 juta, jauh melebihi had RM88.3 juta dalam pilihanraya umum 2004.
6. Memanjangkan tempoh berkempen. Lim menggesa tempoh kempen diwajibkan selama lima minggu dan bukannya lapan hari seperti pilihanraya yang lalu, serta memastikan amalan demokrasi, kebebasan bersuara dan berhimpun serta perbelanjaan wang rakyat bagi menghapuskan amalan rasuah dan dibelanjakan untuk kepentingan peribadi.
7. Laporan media yang adil dan bebas mengenai pilihanraya. Sebagai badan yang mengendalikan pilihanraya, Lim berkata, adalah menjadi tanggungjawab SPR untuk memastikan kedua belah pihak mendapat akses media yang sama, terutama media elektronik milik kerajaan, bagi membolehkan pengundi mendapat maklumat secukupnya untuk membuat keputusan.
8. Polis dan ceramah. Menurut Lim, SPR harus memastikan pihak polis tidak bersikap berat sebelah terutama terhadap ceramah yang diadakan oleh semua parti yang bertanding.
9. Menghormati prinsip satu pemilih satu undi. Menurut Lim, prinsip ini harus dihormati bagi mengelak persempadanan kawasan pilihanraya yang tidak adil terhadap pembangkang, apabila mempunyai lebih ramai pengundi.
Sebagai contohnya, kawasan Parlimen Putrajaya hanya mempunyai 5,079 pengundi dalam pilihanraya umum 2004 sedangkan kawasan Seputih (kawasan ahli Parlimen DAP) mempunyai 74,702 pengundi, katanya.
Menurut Lim lagi, peruntukan dalam Perlembagaan yang tidak membenarkan persempadanan yang tidak adil, dengan menghadkan perbezaan pengundi antara kawasan pilihanraya pada kadar 15 peratus, dikuatkuasakan semula.
10. Peranan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Lim menyarankan proses pendaftaran secara automatik melalui kerajama JPA-SPR bagi memastikan tiada seorangpun ketinggalan untuk mengundi memandangkan pada masa ini lebih lima juta rakyat Malaysia yang sudah layak, masih belum mengundi sebagai pemilih.
Lim juga memberi dua contoh dua nama pemilih yang sudah berkali-kali mengundi dalam pilihanraya umum sebelum ini, tetapi nama mereka tidak ada dalam senarai pemilih dalam pilihanraya umum 2004.
Mereka ialah Tan Ah Kong @ Choo Tin Chee [GB2312]C 431211105043 (8024903) yang telah mengundi dalam pilihanraya 1986,1990,1995,1999 tetapi namanya tidak ada dalam senarai pemilih 2004.
Seorang lagi ialah Chin Siew Fai yang 710122055357 (A11791544) telah mengundi dalam pilihanraya 1995 dan 1999 dan namanya tiada dalam senarai pemilih 2004) .