Wanita MCA hari ini melahirkan kebimbangannya terhadap keadaan di Malaysia sekarang yang menurut pergerakan itu "tidak lagi seselamat dulu".
Sehubungan itu, pergerakan tersebut meminta kerajaan supaya meningkatkan usaha bagi menjamin keselamatan rakyat.
Ketuanya Datuk Dr Ng Yen Yen berkata kes keganasan terhadap orang ramai dan keganasan di rumah seperti penderaan kanak-kanak, rogol, rompakan dan pembunuhan, semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
"Rakyat Malaysia tidak lagi berasa selamat seperti dulu. Kita perlu tangani perkara ini secara bersama sebagai suatu negara," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Wanita MCA ke-32 di Wisma MCA di Kuala Lumpur.
Sebelum meningkatkan langkah keselamatan, katanya, kerajaan perlu memantau pekerja asing, terutama pendatang tanpa izin dan memperketatkan penguatkuasaan undang-undang.
Menurut laporan Bernama, Dr Ng, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, meminta kaum wanita supaya lebih berani menuntut jaminan keselamatan, di samping melengkapkan diri dengan kemahiran ilmu mempertahankan diri.
"Kita sambut baik usah kerajaan memperkuatkan pasukan polis. Kita
gembira kerana kerajaan mengambil langkah untuk menyemak semula dan
memperkemaskan undang-undang Perlindungan Kanak-kanak dan Keluarga.
"Kita menyeru kepada kerajaan supaya mempercepatkan usaha ini,"
katanya.
Mengimbas kembali tempoh kemerdekaan Malaysia yang berusia 50 tahun pada tahun ini, Dr Ng berkata wanita Malaysia pada hari ini lebih bernasib baik berbanding ibu dan nenek mereka pada waktu dulu.
Jangka hayat wanita Malaysia meningkat kepada 76 tahun, manakala kadar kematian semasa kelahiran menurun dengan ketara dan 67 peratus daripada graduan terdiri daripada wanita, katanya.
Beliau berkata kerajaan juga berikrar untuk menambah jumlah wanita yang
menyandang jawatan di peringkat pembuat keputusan kepada 30 peratus dalam tempoh rancangan Malaysia Kesembilan.
"Antara agenda utama Wanita MCA ialah memperkasakan penguasaan wanita dalam bidang ekonomi di negara Malaysia yang aman, makmur dan stabil ini.
"Kerajaan kita telah mengenal pasti pembangunan modal insan dan sektor
perkhidmatan seperti teknologi maklumat dan komunikasi serta sektor
kesihatan dan kewangan. Sektor ini amat sesuai bagi wanita," katanya.
Mengenai pilihanraya umum, Dr Ng berkata Wanita MCA telah selesai mengadakan latihan kader politik pusingan pertama bagi pemimpin peringkat akar umbi di semua negeri.
"Kita akan terus perkuatkan jentera pilihanraya kita bagi memastikan kejayaan MCA dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya itu nanti," katanya.
Mengenai tuntutan Wanita MCA kepada kepimpinan parti itu supaya
meletakkan lebih banyak calon wanita, beliau berkata pergerakan itu memang menyedari bahawa perubahan yang berlaku amat
perlahan.
"Seratus tahun dulu, kakak-kakak kita bertungkus lumus berjuang untuk membawa perubahan bagi memperbaiki nasib golongan wanita dan agar wanita diberi persamaan hak. Perubahan yang berlaku pada waktu itu amat perlahan.
"Ramai yang telah pergi dulu sebelum sempat melihat hasil perjuangan mereka, terlaksananya apa yang mereka impikan dan pemberian kuasa kepada wanita. Kita, wanita hari ini, mendapat manfaat daripada perjuangan mereka.
"Kita perlu teruskan perjalanan untuk mencapai sesuatu yang lebih baik
untuk hari ini dan esok," katanya.