Anggota polis lepas empat das tembakan, kata Ketua Polis T'ganu
RK Anand
Sep 11, 07
7:55pm
Anggota polis yang melepaskan tembakan ketika berlaku satu pergelutan di Kuala Terengganu malam Sabtu lalu, telah melepaskan empat das tembakan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaakob mengesahkan perkara itu ketika dihubungi petang ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa anggota polis tersebut bukan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Azmi Hussein, 29, seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Anggota polis yang dikatakan melepaskan tembakan tersebut selepas diserang 20 lelaki, dikenalpasti sebagai Wan Abdul Aziz, 25.

Ekoran kejadian tersebut, dua orang - Suwandi Abdul Ghani, 37, dan Muhamad Azman Aziz, 21 - cedera terkena tembakan, masing-masing di dada dan di leher. Kedua-duanya sedang dirawat di hospital dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Manakala Wan Abdul Aziz terpaksa menerima beberapa jahitan akibat kecederaan dialaminya akibat diserang, dan kini bercuti sakit. Dia juga telah membuat laporan polis dan kes itu telah diklasifikasikan sebagai 'percubaan membunuh'.

Polis sedang menjalankan siasatan untuk menentukan sama ada berlaku kelalaian di pihak anggota polis tersebut.

Sementara itu, Ayub berkata, anggota FRU tersebut, Azmi, masih dirawat akibat kecederaan yang dialaminya dalam kejadian malam Sabtu lalu.

Azmi cedera selepas orang ramai yang marah, membalingkan botol, batu dan objek lain ke arah anggota polis. Empat anggota polis, termasuk Azmi dan Wan Abdul Aziz, cedera dalam kejadian tersebut.

Versi berbeza

Sejak kejadian tersebut, terdapat pelbagai versi yang dilaporkan oleh pihak media mengenai identiti anggota polis yang melepaskan tembakan tersebut.

Bernama pada mulanya berkata, satu das tembakan dilepaskan, manakala sesetengah akhbar melaporkan dua das tembakan dilepaskan.

Rusuhan itu berlaku apabila pihak polis tidak membenarkan ceramah anjuran badan pemantau pilihanraya, Bersih, diadakan di kawasan pantai Batu Buruk.

Sementara itu, Ayub juga menafikan dakwaan pihak pembangkang bahawa polis yang memprovokasi sehingga tercetus kejadian tersebut.

Beliau memberitahu malaysiakini bahawa arahannya adalah jelas, iaitu pihak polis tidak akan bertindak sekiranya orang ramai tidak berbuat apa-apa.

Beliau juga menjelaskan bahawa permohonan untuk mendapatkan permit tersebut ditolak kerana kawasan tempat ceramah itu hendak diadakan - di Batu Buruk, dianggap tidak sesuai. Ia adalah tempat tumpuan pelancong.

Lagi pula, katanya, permohonan tersebut tidak disertakan dengan sebarang pelan bagaimana pihak penganjur hendak mengawal orang ramai dan lalulintas di kawasan itu.

18 dibebaskan

“Mereka (penganjur) mengemukakan rayuan. Saya kemudian memanggil mereka untuk berunding, tetapi mereka hanya menghantar seorang utusan. Saya menunggu di pejabat saya sehingga jam 6 petang (Sabtu)," katanya.

PAS bagaimanapun, mendakwa telah banyak ceramah yang diadakan di Batu Buruk sejak 90-an tanpa sebarang masalah.

Ayub berkata, selepas membawa masuk wanita, kanak-kanak dan orang tua ke dalam sebuah bangunan berhampiran, Wan Abdul Aziz didatangi oleh sekumpulan 20 lelaki yang membawa kayu.

“Mereka memanggilnya SB (Special Branch) dan mula memukulnya," kata Ayub.

Ayub berkata, anggota polis tersebut dipukul di bahagian matanya hingga berdarah dan rebah tetapi mereka terus memukulnya.

“Dia tidak ada pilihan, dia menggunakan tangan kirinya untuk menangkis pukulan dan tangan kanannya mencapai pistolnya. Kerana muka berlumuran darah, dia tidak dapat melihat dengan jelas," katanya.

Ayub berkata, anggota polis itu masih rebah dan sikunya di atas tanah ketika dia menembak ke udara dan dia sendiri tidak tahu yang ada orang yang terkena tembakan itu.

Seramai 23 orang ditahan ekoran rusuhan tersebut dan sehingga ini 18 orang telah dibebaskan. Berita asal

 
Untuk penguna Maxis, UMobile, Digi , dapatkan berita sms
Dapatkan Mobilekini untuk membaca cerita penuh di telephone bimbit
Singkatan berita setiap hari
Email:
Bersamalah 2800+ kawan di kumpulan Facebook Malaysiakini
Ikuti berita Malaysiakini menerusi Twitter
Diy Day Banner

Advertise here ( RM10/day )

Advertise here ( RM10/day )

Diy Day Banner