BPR akan siasat dakwaan dalam laporan Ketua Audit
Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan menyiasat semua dakwaan salah urus dana awam yang dilaporkan dalam Laporan Audit Negara 2006, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Aziz hari ini.
Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan menyiasat semua dakwaan salah urus dana awam yang dilaporkan dalam Laporan Audit Negara 2006, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Aziz hari ini.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) telah meminta semua kementerian memandang serius laporan itu dan memperbetulkan sebarang salah laku jika ada. Kami berpendapat ia langkah yang tepat bagi BPR mula menyiasat kes-kes yang didedahkan dalam laporan itu," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Pidato Pencegahan Rasuah Pra-Universiti peringkat kebangsaan, anjuran BPR, Nazri berkata agensi itu akan menyiasat mereka yang didakwa menyalahgunakan kuasa atau mereka yang terbabit dalam amalan rasuah supaya mereka boleh didakwa di mahkamah, demikian menurut laporan Bernama.
Oleh kerana Laporan Ketua Audit Negara adalah dokumen rasmi, katanya, BPR tidak perlu menunggu aduan sebelum memulakan siasatan.
"Buat masa ini, BPR sedang mengkaji secara terperinci laporan itu. Kita perlu memberi masa kepada mereka. Mereka akan memulakan siasatan secepat mungkin. Pada dasarnya, semua pihak perlu memandang serius laporan tahunan ini," katanya.
Laporan yang dikeluarkan Jumaat lalu mendedahkan aktiviti kementerian dan jabatan kerajaan persekutuan membeli barangan dan peralatan yang harganya berlipat kali ganda daripada harga pasaran.
Peringkat awal siasatan
Laporan itu menyentuh sebuah kes di mana Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah membayar RM224 bagi sebuah set pemutar skru berbanding harga pasaran cuma RM32.
Ketua Setiausaha KBS juga menandatangani 11 kontrak bagi pihak kerajaan bernilai antara RM7.99 juta dan RM74.2 juta berhubung projek Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).
Kes-kes yang didedahkan dalam laporan itu termasuk badan bukan kerajaan yang tidak layak menerima bantuan dana dari kerajaan dan pembaziran wang dalam pembelian helikopter yang tidak boleh dipakai.
Sementara itu, pada sidang media sama, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan berkata pegawainya kini di peringkat awal penyiasatan pelbagai dakwaan salah urus dana awam di kementerian-kementerian.
"Kami kini sedang melihat laporan itu untuk menentukan siapa yang terbabit dan siapa yang sepatutnya disoal.
"Terlebih dahulu, kita perlu mengkaji secara mendalam Laporan Ketua Audit Negara itu sebelum mengambil langkah seterusnya iaitu menemubual pegawai-pegawai dan orang lain yang berkaitan," katanya.

