Ceramah pembangkang: Polis tidak akan bertolak ansur lagi
Polis Terengganu tidak akan bertolak ansur lagi setelah sekian lama membenarkan pembangkang mengadakan ceramah tanpa permit 'hampir setiap malam' kata Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob.
Polis Terengganu tidak akan bertolak ansur lagi setelah sekian lama membenarkan pembangkang mengadakan ceramah tanpa permit 'hampir setiap malam' kata Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob.
Katanya, pihak polis akan memastikan mereka mendapat kebenaran untuk mengelak kejadian rusuhan seperti yang berlaku di Batu Buruk dan Jalan Sultan Mahmud pada malam Sabtu lalu.
Sebelum ini, katanya, parti pembangkang mengadakan ceramah politik di setiap pelusuk negeri, tetapi pihak polis tidak pernah menghalangnya, walaupun ada antara ceramah itu tidak mendapat permit, demikian menurut laporan Bernama.
"Tiap-tiap malam ada ceramah, dan bukan semua ceramah ini ada permit tetapi setakat ini kita cukup bertolak ansur. Namun mungkin selepas ini kita akan pastikan semua ceramah perlu mempunyai permit," katanya kepada pemberita selepas mengadakan talimat berhubung kejadian rusuhan kepada pegawai dan kakitangan awam di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu hari ni.
Majlis penerangan tersebut dihadiri oleh hampir 400 orang termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong serta Anggota Exco Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun).
Dalam kejadian itu, lebih 500 orang yang dipercayai penyokong pembangkang merusuh setelah diarahkan bersurai daripada satu perhimpunan yang tidak mendapat kebenaran polis.
Empat anggota polis cedera diserang sekumpulan perusuh, ada antara mereka telah membakar Jalur Gemilang. Dua orang pula dimasukkan ke hospital akibat terkena tembakan polis.
Bakar Jalur Gemilang
Seorang pemimpin PAS Kawasan Kuala Terengganu dipercayai telah memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pagi tadi bagi membantu siasatan kes itu.
Ayob berkata, polis terpaksa menolak permohonan untuk mendapatkan permit bagi perhimpunan itu memandangkan ia diadakan di kawasan kurang sesuai yang menempatkan perumahan pegawai kerajaan, rumah hakim serta bersebelahan istana.
Katanya, polis sedang mengenal pasti individu yang terlibat dalam kejadian membakar Jalur Gemilang dalam kejadian itu.
"Hasil maklumat risikan serta gambar yang diambil, kita yakin akan dapat mengenal pasti individu yang terlibat. Gambar memang jelas dan kita sedang berusaha untuk mengesannnya," kata Ayob.
Beliau menafikan dakwaan pembangkang kononya individu yang terlibat membakar Jalur Gemilang itu adalah seorang anggota polis.
Lelaki, berumur 21 tahun yang cedera di leher dalam kejadian itu dan dirawat di Hospital Sultanah Nurzahirah, telah dibenarkan pulang pada hari ini, manakala seorang lagi lelaki berusia 38 tahun yang cedera di bahagian dada, masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Seramai 22 telah ditahan, dan 17 daripadanya telah dibebaskan dengan jaminan polis.

