Badan Perhubungan Umno Terengganu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Pesuruhjaya PAS negeri itu, Datuk Mustafa Ali (foto) kerana membabitkan Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Salleh dalam kejadian rusuhan di Pantai Batu Buruk dan Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pada 8 September lalu.

Setiausaha Umno negeri, Datuk Rosol Wahid berkata, tindakan undang-undang itu akan diambil untuk membersihkan nama Wan Farid yang juga Setiausaha Politik Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

"Tindakan undang-undang ini dipersetujui oleh pemimpin Umno Terengganu kerana tindakan Mustafa (foto) itu adalah tidak wajar dan cuba memburukkan pemimpin Umno," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mustafa membuat dakwaan tersebut dalam satu sidang media mengenai kejadian tersebut di bangunan Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur minggu lalu.

Bagaimanapun, Wan Ahmad Farid (foto) yang dihubungi, menafikan pembabitan beliau dalam kejadian tersebut.

Tujuh orang tercedera dalam insiden tersebut, termasuk empat anggota polis dan dua ahli PAS yang terkena tembakan seorang anggota polis.

Ketika diminta mengulas dakwaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa pemimpin Umno semua peringkat di terbabit dengan kejadian tersebut, Rosol berkata, itu semua 'suara orang yang kecewa'.

"Biarkan si luncai terjun dengan labu-labunya. Mereka kecewa kerana PAS sudah tidak relevan lagi di negeri itu," katanya.

Kempen tandatangan

Rosol yang juga Exco kerajaan negeri Terengganu mendakwa, ahli dan penyokong PAS tidak pernah berbangga menjadi rakyat Malaysia.

Sebab itulah, katanya, rumah mereka tidak pernah ada bendera Malaysia, melainkan bendera PAS sahaja.

Rosol (foto) berkata, Umno juga tidak mahu melayan kerenah pemimpin PAS.

Mengenai kempen memungut tandatangan secara besar-besaran bagi mengutuk perbuatan membakar Jalar Gemilang sewaktu kejadian rusuhan di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu Sabtu lalu, Rosol berkata 10,000 tandatangan sudah diperolehi setakat ini.

"Kita akan mendapatkan tandatangan dari seluruh rakyat Terengganu, termasuk dari badan bukan kerajaan (NGO) sebagai membantah perbuatan (membakar Jalur Gemilang) itu," katanya.

Tandatangan yang dikumpul itu akan diserahkan kepada Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh bagi menunjukkan bantahan rakyat Terengganu terhadap mereka yang melakukan tindakan tidak bertanggungjawab itu.