Surat layang terhadap Ahmad Fairuz timbul semula
Satu laporan telah dibuat kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Ketua Hakim, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim berhubung dakwaan rasuah dan salahlaku yang terkandung dalam satu surat layang.
Satu laporan telah dibuat kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Ketua Hakim, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim berhubung dakwaan rasuah dan salahlaku yang terkandung dalam satu surat layang.
Dua bekas Presiden Transparency International Malaysia (TIM), Datuk Param Cumaraswamy dan Tunku Abdul Aziz Ibrahim membuat laporan tersebut selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Pengarah BPR, Abu Kassim Mohamed semalam.
Bercakap dalam satu siang akhbar hari ini, Param berkata, beliau telah menerima sepucuk surat layang dua bulan lalu dan telah menyerahkannya kepada Ahmad Fairuz pada 20 Julai supaya siasatan dijalankan.
Bagaimanapun, tidak dapat ada sebarang respons daripada pihak Ketua Hakim Negara, kata Param.
Beliau berkata, antara dakwaan dalam surat tersebut ialah tuduhan bahawa Ketua Hakim Negara telah mengadakan perbincangan dengan seorang hakim Mahkamah Tinggi baru-baru ini mengenai satu keputusan kes saman di mana Datuk VK Lingam adalah peguam yang mewakili salah satu pihak terbabit.
Penghakiman akhirnya dibuat menyebelahi pihak yang diwakili oleh Lingam, kata Param yang juga bekas pelapor khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai kebebasan hakim dan peguam.
Keputusan untuk mengadakan pertemuan dengan Abu Kassim dicetuskan oleh pendedahan satu klip video yang menunjukkan Lingam berbual melalui telefon, didakwa dengan Ahmad Fairuz pada 2002. [lihat video]
Perbualan itu juga berkisar mengenai pentingnya Ahmd Fairuz dilantik sebagai Ketua Hakim Negara serta 'pemain-pemain penting" dicalonkan untuk dilantik sebagai hakim untuk mendengar kes-kes dan memberi penghakiman sepertimana yang dikehendaki.
Perbualan Lingam juga menyentuh jutawan Tan Sri Vincent Tan, sekutu rapat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu. Mereka dijadual menemui Dr Mahathir berhubung pelantikan hakim-hakim.
Maklumat orang dalam
Malaysiakini melihat surat layang tersebut yang mengandungi butiran lanjut mengenai pelbagai tuduhan terhadap Ahmad Fairuz termasuk pemborosan, pilih kasih, salahguna kuasa, rasuah dan mengatur pelantikan hakim.
Surat yang ditulis dalam bahasa Inggeris itu juga mendakwa, berlaku salahlaku oleh hakim-hakim lain yang mendengar kes.
Param berkata, siapa juga yang menulis surat itu jelas mempunyai banyak maklumat dalaman, sambil menambah, masanya sudah tiba perlunya sesetengah dakwaan tersebut disiasat.
Secara berseloroh, beliau berkata, di negara inisesuatu khabar angin dianggap benar sehinggalah dibuktikan sebaliknya.
Manakala bekas penasihat khas mengenai etika kepada Setiausaha Agung PBB, Tunku Abdul Aziz berkata, pelantikan dan kenaikan pangkat hakim sewaktu perkhidmatan Ahmad Fairuz, hendaklah disemak semula ekoran pendedahan klip video tersebut Rabu lalu.
Katanya, sesetengah penghakiman mahkamah termasuk yang didengar oleh Ketua Hakim, mesti disemak semula.
Menurutnya, ini kerana ada pihak-pihak terbabit yang mempersoalkan integriti penghakiman tersebut.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Param dan Tunku Abdul Aziz menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya menggunakan Artikel 125 Perlembagaan Persekutuan untuk menubuhkan sebuah tribunal bagi memecat Ahmad Fairuz sebagai hakim.
Kata mereka, walaupun Ahmad Fairuz akan bersara tidak lama lagi, ia tidak harus dijadikan alasan untuk tidak melaksanakan prosedur tersebut.
Param memberitahu pemberita, kandungan klip video tersebut "telah mengesahkan kebimbangan yang disuarakan oleh banyak pihak sebelum ini bahawa sistem kehakiman negara telah dimanipulasikan oleh personaliti-personaliti tertentu".
Katanya, ia juga mengesahkan bahawa mesti ada ramai pihak yang telah tidak mendapatkan keadilan akibat daripada perbuatan manipulasi seperti itu.
Tempoh perkhidmatan Ahmad Fairuz sebagai Ketua Hakim Negara, yang dipegangnya sejak tahun 2003, akan tamat Oktober ini. Sehingga ini, Lingam dan Ahmad Fairuz belum membuat sebarang komen mengenai klip video tersebut. Berita asal

