Bekas Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung, hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya.

Dia memetik beberapa isu urus tadbir sebagai punca dia mengambil keputusan tersebut.

Bercakap kepada media hari ini, Lee turut mendedahkan bahawa dia baru saja digantung oleh PKR selama tiga tahun dan mengesyaki tindakan berkenaan terkait dengan pendekatannya yang lantang akhir-akhir ini.

Misalnya pada 6 Ogos lalu dia mempersoalkan status baki peruntukan kawasan parlimennya yang bernilai RM3 juta dan didakwanya disalurkan melalui pimpinan parti politik, bukan lagi menerusi wakil rakyat yang dipilih.

Menyifatkan peruntukan parlimen adalah wang awam yang diperuntukkan untuk manfaat seluruh rakyat, dia turut mempersoalkan jika tindakan kerajaan itu satu bentuk “sakau” yang ‘dihalalkan’.

“Mengapakah tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat?

“Jika benar berlaku perubahan mekanisme penyaluran peruntukan, mengapa tiada pekeliling, kenyataan rasmi atau garis panduan diumumkan kepada rakyat Petaling Jaya?” katanya.

Bagaimanapun pengumuman hari ini tidaklah begitu mengejutkan jika dilihat perkembangan yang berlaku di sekitar Lee.

Pada 12 Jun lalu dia yang juga bekas Adun Semambu di Pahang berundur daripada tanggungjawabnya sebagai anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR dan ia berkuat kuasa serta-merta.

Lee memenangi kerusi parlimen Petaling Jaya dalam PRU ke-15 lalu.

Dia mengalahkan lima pencabar termasuk dari PN dan BN dengan majoriti selesa - 50,575 undi.

[Laporan lanjut menyusul]