Datuk Nalla tubuh parti baru kaum India

       

Datuk S Nallakarupan telah menubuhkan sebuah parti politik kaum India yang baru - Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) - untuk memperjuangkan nasib kaum India di negara ini.

Ketika mengumumkan penubuhan parti baru itu di kediamannya di Kuala Lumpur hari ini, Nallakarupan berkata, pendaftaran parti itu telah diluluskan pada 14 September lalu.

"Saya akan menjadi presidennya dan saya telah mengenalpasti pasukan yang akan membantu saya mengendalikan parti tersebut," katanya.

Menurutnya, beliau mendapat ilham untuk menubuhkan parti baru itu selepas keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang disertainya selama hampir setahun.

Nallakarupan keluar dari PKR kerana mendakwa, parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu telah meminggirkan masyarakat India.

Pada mulanya, kata Nallakarupan, beliau menaruh harapan yang tinggi untuk bersama-sama berjuang meningkatkan taraf hidup masyarakat India melalui PKR.

"Bagaimanapun, saya kemudiannya menyedari bahawa PKR bukanlah platformnya," katanya.

"Dalam tempoh tiga empat bulan yang lalu, selepas memikirkan dengan semasak-masaknya serta selepas mendapatkan maklumbalas dari keluarga saya, rakan-rakan dan para penyokong, saya telah menubuhkan parti ini," katanya.

Nallakarupan berkata, matlamat utama perjuangan parti itu ialah untuk meningkatkan kedudukan masyarakat India yang menurutnya ketinggalan dalam bidang ekonomi, politik dan pembangunan sosial.

Sasar 20,000 ahli

Beliau juga bertekad untuk berusaha meningkatkan taraf hidup masyarakat India di kawasan luar bandar dan membantu remaja India yang menghadapi masalah sosial, termasuk mereka yang terbabit dalam kegiatan samseng.

MIUP kini mempunyai 100 ahli dan Nallakarupan berkata, beliau akan mendapatkan 3,000 hingga 4,000 ahli baru bulan depan. Beliau yakin dapat menarik sekurang-kurangnya 20,000 ahli dalam tempoh empat bulan.

Ditanya sama ada beliau akan mendapat sokongan masyarakat India, beliau dengan yakin berkata" "Mereka pasti menyokong saya".

"Jika saya boleh membawa masuk 10,000 ahli (dari kalangan kaum India) menyertai PKR selepas saya menyertai parti tersebut, saya juga mampu berbuat demikian sekarang," katanya.

Menurut Nallakarupan, beliau akan melawat seluruh negara selepas Hari Raya ini untuk menarik ahli baru.

Katanya, MIUP merupakan sebuah parti bebas, tetapi tidak menolak kemungkinan sama ada menyertai Barisan Nasional atau barisan pembangkang.

Nallakarupan juga berkata, beliau belum lagi memikir sama ada akan bertanding dalam pilihanraya umum akan datang, "tetapi saya akan berbuat demikian jika dikehendaki oleh ahli-ahli parti".

Ditanya mengapa perlu ada sebuah lagi parti kaum India, Nallakarupan berkata: "Kita boleh ada 10 parti kaum India. Tetapi saya menubuhkan parti ini untuk menyumbang kepada masyarakat tersebut."

'Taat pada negara'

"Parti ini akan taat setia kepada negara. Ia juga akan menjadi suara masyarakat di negara ini," katanya.

Ketika menjelaskan mengenai tiga warna (kuning, merah dan biru) pada bendera parti baru itu, Nallakarupan berkata: "Kuning melambangkan matahari yang menyinari perjuangan parti ini untuk membela masyarakat India, merah bermaksud keberanian dalam perjuangan dan biru mencerminkan kegembiraan dan harmoni dalam masyarakat tersebut."

Bekas Ketua Angkatan Muda (AMK), yang juga Pengerusi Gerak, Ezam Mohd Noor, yang turut hadir di sidang akhbar tersebut, berkata beliau hadir untuk memberi sokongan kepada Nallakarupan sebagai seorang "kawan".

"Saya di sini sebagai wakil NGO. Saya menyokong sebarang parti, terutama yang matlamat utamanya adalah menentang rasuah di negara ini," katanya.

Pelancaran rasmi parti itu akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra bulan depan. Berita asal

Malaysiakini
terkini untuk anda