Naib Presiden Umno, Datuk Mohd Ali Rustam menyampaikan satu ucapan yang pedas membidas Parti Progresif Rakyat (PPP) kerana "mengugut" Barisan Nasional (BN)untuk mendapatkan lebih banyak kerusi dalam pilihanraya umum akan datang.

Ketika berucap merasmikan perhimpunan tahunan PPP Melaka Isnin lalu, beliau berulangkali menegaskan bahawa PPP boleh keluar dari BN jika parti itu tidak puas hati.

Ini menyebabkan ahli-ahli parti itu kebingungan mengapa Ketua Menteri Melaka itu - selaku tetamu kehormat di majlis tersebut menyampaikan ucapan seumpama itu.

"Beliau datang ke rumah kita, tetapi nampaknya dengan niat untuk memalukan kita," kata satu sumber PPP yang turut menghadiri majlis tersebut.

Para saksi berkata, ada ahli-ahli PPP yang bertindak keluar dewan sebagai tanda bantahan, tetapi ia tidak dipedulikan oleh Mohd Ali.

Mohd Ali berkata, PPP boleh keluar dari BN.

Sambil menuding jari ke arah para pewakilan, beliau berkata mereka semua boleh keluar dari BN, sama ada hari ini atau esok dan mengapa harus menunggu hingga pilihanraya umum.

Angkat tangan

Mohd Ali juga mendakwa bahawa Majlis Tertinggi Umno tidak senang dengan tindakan PPP menerima bekas ahli Umno sebagai ahli parti itu.

Beliau malah meminta perwakilan yang terdiri daripada bekas ahli Umno, MCA, Gerakan dan MIC supaya mengangkat tangan.

Mohd Ali juga menegur Menteri Besar Pahang, Datuk Adnan Yaakob kerana mencadangkan supaya PPP meminta setiap negeri memberi parti itu satu kerusi untuk ditandinginya.

Malah tegas Mohd Ali, Melaka tidak akan memberi sebarang kerusi kepada PPP.

Apabila Mohd Ali selesai berucap dan merasmikan perhimpunan tersebut, para perwakilan PPP enggan bertepuk tangan.

Para saksi melaporkan bahawa Presiden PPP, Datuk M Kayveas 'cuba' kelihatan tenang sepanjang ucapan Mohd Ali dan juga kelihatan membuat catatan.

Suasana berkabung

Ketika dihubungi, Kayveas berkata, para perwakilan "kecewa dan dukacita" dengan ucapan Mohd Ali itu.

Katanya, para perwakilan mengharapkan kata-kata semangat dari Mohd Ali sebagai persediaan parti itu untuk menghadapi pilihanraya umum yang akan datang.

"(Sebaliknya) ucapan ketua menteri itu telah menyebabkan perhimpunan itu menjadi seperti majlis berkabung. Sebagai pemimpin ketiga tertinggi dalam Umno, saya juga bimbangkan terhadap akibat ucapanya beliau itu," katanya.

Menurutnya lagi, sesetengah kenyataan Mohd Ali mengenai parti komponen BN yang lain dan mengenai Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah tidak perlu.

Menurut sumber-sumber media, Mohd Ali meminta wartawan supaya tidak memasukkan bahagian ucapannya itu dalam laporan mereka. Beliau mendakwa, ianya hanya ditujukan kepada para perwakilan sahaja.

Adalah tidak dapat dipastikan sama ada ucapan Mohd Ali itu akan mengeruhkan hubungan antara PPP dan Umno.

Bagaimanapun, sudah terdapat cakap-cakap dalam PPP bahawa parti itu mungkin secara senyap-senyap memboikot program dan majlis Umno. Berita asal