Kit Siang: SPR tidak iktiraf konsep 'kerajaan sementara'
Jan 25, 08 3:23pm
Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang berkata beliau telah menerima jawapan yang mengejutkan dari Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bahawa suruhanjaya itu tidak mengiktiraf konsep kerajaan sementara apabila Parlimen dibubarkan bagi memastikan perjalanan pilihanraya umum yang bebas, adil dan bersih.
Katanya, Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor - dalam surat bertarikh 17 Januari lalu yang difaks ke pejabat beliau pada 22 Januari lalu sebagai menjawab surat bertarikh 7 Januari dari Setiausaha Pejabat Ketua Pembangkang Lau Weng San untuk membuat temujanji beliau (Lim) dengan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman - menulis:
“Sukacita dimaklumkan bahawa dalam kerangka undang-undang pilihanraya Negara kita termasuk Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan adanya 'Caretaker Government'. Oleh yang demikian, apabila pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri berlaku, maka kerajaan yang memerintah sebelum pembubaran tersebut akan terus menerajui kerajaan sehinggalah sebuah kerajaan baru ditubuhkan selepas keputusan pilihanraya diumumkan secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia.
“Adalah dimaklumkan bahawa SPR bukan jabatan atau agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk memberikan tafsiran mengenai sesuatu perkara atau fasal yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana pihak yang lebih layak untuk memberi apa-apa interpretasi mengenai Perlembagaan Persekutuan ialah Jabatan Peguam Negara. Justeru itu, tuan adalah dinasihatkan untuk berhubung terus dengan Jabatan berkenaan jika tuan memerlukan apa-apa interpretasi mengenai sesuatu perkara atau fasal yang menyentuh Perlembagaan Persekutuan.”
Menurut Lim (foto), SPR telah melanggarkan Pelan Integriti Nasional apabila enggan mengiktiraf konsep kerajaan sementara apabila Parlimen dibubarkan bagi memastikan pilihanraya umum yang bebas, adil dan bersih.
Sambil menegaskan tiada siapa pun yang meminta SPR mentafsir Perlembagaan, Lim bekata, SPR telah 'menyalak pada pokok yang salah' apabila ia mendakwa Perlembagaan 'senyap' tentang konsep kerajaan sementara.
"Apakah konsep integriti nasional dan Pelan Integriti Nasional terdapat dalam Perlembagaan, dan apakah SPR sudah lali daripada perlu menghormati dan memelihara prinsip kesopanan dan kesusilaan dan integriti dalam melaksanakan tugasnya dari segi perlembagaannya untuk mengadakan pilihanraya umum yang bebas, adil dan bersih?
'Salah tanggapan'
"Atau apakah SPR akan berkata kerana Perlembagaan tidak menyatakan apa-apa tentang "pilihanraya yang bebas, adil dan bersih", maka SPR tidak mempunyai tugas dari segi perlembagaan untuk memastikan pilihanraya akan datang bebas, adil dan bersih, walaupun suruhanjaya itu akan membelanjakan RM200 juta - pilihanraya umum termahal dalam sejarah 50 tahun kemerdekaan negara?" kata Lim.
SPR juga, katanya, membuat tanggapan yang salah apabila beranggapan bahawa kerajaan sementara itu merupakan 'kerajaan lain' selepas pembubaran Parlimen.
"Ianya tidak begitu. Perdana menteri, timbalan perdana menteri dan menteri-menteri kabinet masih sama, dan menerima gaji dan ganjaran daripada wang rakyat walaupun Parlimen telah dibubarkan.
"Bagaimanapun, mereka mesti ingat bahawa mereka hanya sebuah 'kerajaan sementara' selepas Parlimen dibubarkan dan mereka tidak boleh menyalahgunakan kedudukan, sumber, dana dan jentera kerajaan untuk berkempen bagi calon atau sesebuah parti politik," katanya.
Manakala SPR pula, kata Lim, telah gagal melaksanakan tugasnya di segi perlembagaan serta Pelan Integriti Nasional apabila menolak konsep 'kerajaan sementara' selepas Parlimen dibubarkan - yang semuanya adalah mengenai kejujuran, tingkahlaku dan integrisi.
Oleh itu, Lim menggesa pengerusi dan anggota SPR supaya mengadakan mesyuarat tergempr untuk mengkaji semula dan menarik balik penolakan konsep 'kerajaan sementara' selepas pembubaran Parlimen kerana ia boleh memberi tanggapan bahawa pilihanraya umum akan datang mungkin menjadi yang paling 'kotor' dalam sejarah.
"Dalam hubungan ini, saya menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mengumumkan sama ada beliau menerima dan akan menghormati konsep 'kerajaan sementara' apabila Parlimen dibubarkan, serta mengarahkan semua menteri kabinet tidak menyalahgunakan kedudukan, sumber, dana dan jentera kerajaan untuk tujuan kempen pilihanraya, bagi membezakan antara kerajaan dan parti," katanya.