Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'BN takut manifesto pembangkang'
Diterbitkan:  Feb 27, 2008 1:08 PM
Dikemaskini: 2:18 PM

Umno dan Barisan Nasional (BN) dituduh memperalatkan TV, radio dan akhbar untuk menyeleweng dan menyerang manifesto parti-parti pembangkang yang bertanding dalam pilihanraya umum kali ini.

syed husin ali Timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali berkata, ia menunjukkan bahawa Umno-BN "bukan main takut lagi dengan manifesto PKR, PAS dan DAP".

"Mereka menggunakan TV, radio dan akhbar untuk menyelewengkan dan menyerang manifesto-manifesto tersebut. Sebaiknya, TV sama sekali tidak memberikan liputan kepada pelancaran manifesto PKR," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Syed Husin berkata, walaupun manifesto PKR, PAS dan DAP berlainan, tetapi terdapat banyak perkara penting yang sama.

Paling utama, tambahnya, semuanya berikrar menggunakan kekayaan negara untuk faedah rakyat, terutama yang miskin serta berpendapatan rendah.

PKR, kata Dr Syed Husin, antara lain, berjanji menurunkan harga minyak, tol lebuhraya terkawal serta tidak naik lagi serta melaksanakan gaji minimum untuk pekerja pada paras RM1,500 sebulan.

"Harga minyak boleh diturunkan, sesuai dengan kenaikan harga pasaran dunia untuknya, sebab Malaysia selaku pengeksport bersih minyak, mendapat untung yang bertambah besar daripada jualannya. Sebahagain untung itu boleh diguna untuk menurunkan harga.

Membantu rakyat

"Tol lebuhraya boleh dikawal sekiranya kerajaan tidak menurut saja kehendak dan kepentingan syarikat serta tokoh-tokoh korporat yang rakus, kebanyakannya berkait rapat dengan pemimpin utama Umno.

"Gaji minimum boleh dilaksanakan sekiranya kerajaan benar-benar mahu menolong para pekerja dan sanggup bertindak tegas supaya pihak majikan atau pemodal yang memiliki syarikat-syarikat besar, sanggup berkongsi keuntungan yang mereka kaut untuk digunakan bagi menaikkan taraf hidup pekerja," katanya.

Menurut Dr Syed Husin lagi, semua langkah tersebut akan menolong rakyat dan boleh memurahkan harga barang serta memudahkan lagi penghidupan mereka.

"Akan tetapi pemimpin-pemimpin besar Umno-BN tidak mahu melaksanakannya kerana lebih memikirkan kepentingan hanya segelintir pihak saja yang memang sudah berkuasa dalam bidang ekonomi dan politik," katanya.

Menurutnya lagi, janji-janji PKR tidak akan menimbulkan masalah kewangan kepada negara.

"Sekarang ini masalah kewangan yang menuju kepada keadaan negara hampir muflis, timbul daripada korupsi dan pembaziran yang dilakukan dan dibiarkan oleh pemimpin-pemimpin besar Umno-BN. Mereka berbohong besar konon hendak menghapuskan penyakit ini," katanya.

ADS