Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Undur PM: Surat Mukhriz ke internet
Diterbitkan:  Mar 14, 2008 12:26 PM
Dikemaskini: 9:33 PM

Exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Mahathir menggesa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan-jawatannya sebagai perdana menteri dan presiden Umno bagi memulihkan parti itu dan kerajaan BN.

"Hanya dengan peletakan jawatan Perdana Menteri dan presiden Umno oleh Datuk Seri sendiri dapat pemulihan Umno, BN dan negara dilakukan dengan jaya," katanya dalam sepucuk surat peribadinya kepada Abdullah.

Surat bertarikh 12 Mac itu turut diedarkan kepada timbalan Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak, dua naib presidennya Datuk Wira Ali Rustam dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan juga setiausaha agung Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Malaysiakini difahamkan surat dua halaman itu tidak bertujuan diedarkan kepada umum, namun ia kini mula diterbitkan di beberapa laman web dan blog politik.

mukhriz mahathir 050406 Mukhriz, buat pertama kali dipilih ahli parlimen di Jerlun, berkata keputusan pilihanraya umum 8 Mac jelas menunjukkan rakyat menolak kepemimpinan Abdullah.

"Saya berharap Datuk Seri (Abdullah) faham bahawa surat saya ini dibuat degan niat untuk menyelamatkan keadaan yang amat mencemaskan. Gerakan (pihak tertentu) telah bermula untuk menarik wakil-wakil rakyat BN supaya melompat ke parti lawan.

"Musuh BN memerlukan hanya 35 kerusi untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri," kata Mukhriz lagi dalam surat itu.

"Oleh itu, sekiranya Datuk Seri tidak berundur dalam tempoh terdekat, saya benar-benar khuatir kepercayaan rakyat, khususnya orang Melayu terhadap Umno dan BN akan lupus sama sekali."

Mukhriz juga menyatakan keputusan undi 8 Mac lalu jelas menunjukkan "agenda Datuk Seri, kepimpinan Datuk Seri dan cara-cara Datuk Seri mengatasi masalah yang dihadapi rakyat dan neara sudah tidak dapat diterima lagi oleh rakyat.

"Tidak ada gunanya menafikan apa yang jelas semata-mata untuk mengekalkan kedudukan sebagai Perdana Menteri."

Sebelum itu beliau juga menyatakan, "bertentangan dengan kenyataan Datuk Seri yang kononnya Umno dan parti-parti komponen BN di Semenanjung menyokong kepimpinan Datuk Seri, sebenarnya kekalahan yang dialami BN membuktikan bahawa ahli-ahli parti telah berpaling tadah hingga mengalahkan calon-calon kita di kubu-kubu kuat BN."

Sehari selepas pilihanraya umum Sabtu lalu, bapanya mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat gesaan yang sama terhadap Abdullah dan mencadangkan Najib dilantik untuk memimpin Umno dan negara.

Abdullah bagaimanapun enggan berbuat demikian dan malah menyatakan barisan kepemimpinan BN masih bersamanya.

Dr Mahathir, susulan kekalahan besar Perikatan (sekarang BN) pada 1969 dan rusuhan kaum, pernah menulis surat sulit kepada perdana menteri waktu itu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj mendesak peletakan jawatannya.

Surat Mahathir itu turut beredar dengan meluas kepada orang ramai. Tidak sama nasibnya dengan Mukhriz kini, Dr Mahathir kalah di kerusi parlimennya di Kedah 40 tahun lalu.

Mukhriz turut menyatakan, suratnya dan gesaannya itu akan mengundang kemarahan Abdullah dan anggota Umno tetapi beliau sanggup menerima apa jua risiko.

"Apapun, dengan sifat nasionalisme dan patriotisme demi kepentingan orang Melayu dan Umno, saya sanggup menerima sebarang tindak balas akibat rayuan saya ini.

"Dengan rasa insaf dan rendah diri, saya menyerah nasib saya kepada Allah SWT," tulisnya lagi.

ADS