Shahidan gagal, Isa kini MB Perlis

   

Datuk Seri Shahidan Kassim gagal mengekalkan jawatan Menteri Besar Perlis, keputusan mengejut yang sama sekali berbeza daripada dakwaannya malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bintong, Datuk Mat Isa Sabu menggantikan Shahidan yang memegang jawatan itu sejak 1995.

Raja Perlis dilaporkan telah melantik Mat Isa hari ini berkuatkuasa serta-merta dan sekali gus menamatkan suasana tidak menentu di negeri itu.

Setiausaha sulit kepada Raja Perlis, Mohd Adib Zakaria, mengumumkan pelantikan itu dalam satu kenyataan hari ini, lapor Bernama .

Beberapa hari lepas nama Isa, seorang tokoh lama Umno Perlis, disebut-sebut sebagai menggantikan Shahidan.

Undang-undang tubuh negeri ini membenarkan Raja Perlis melantik menteri besar mengikut pilihannya.

Menurut laporan laman web The Star Online hari ini, Shahidan sendiri menghadap Raja Perlis di Istana Siraj kira-kira sejam sebelum solat Jumaat.

Beliau dilaporkan berkata istana belum memutuskan calon MB ketika ditanya wartawan selepas pertemuan tersebut.

shahidan group at putrajaya 140308 shahidan with najib Setakat ini tidak dapat dipastikan reaksi penyokong-penyokong Shahidan selepas mendapat tahu pemimpin mereka itu, yang juga ketua bahagian Arau, disingkirkan.

Sementara itu di Putrajaya, bekas menteri besar itu kelihatan berjalan beriringan dengan timbalan pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak (foto kiri) sewaktu keluar dari masjid Putra selepas solat Jumaat tengah hari tadi.

Kira-kira 100 penyokongnya berkumpul depan masjid itu sebagai menunjukkan rasa tidak puas hati (foto bawah) .

Bercakap kepada media di situ, Shahidan berkata, seseorang yang dilantik MB Perlis sekarang "tidak mendapat mandat" kerana beliau, sebagai pengerusi BN negeri, mempunyai mandat tersebut.

"Saya dapat mandat daripada pengerusi BN dan saya mengetuai kerajaan Perlis. Tetapi kalau ada (pelantikan orang) lain daripada pelantikan itu, bererti mereka bukan BN," katanya.

Beliau juga mengulangi kenyataan pemimpin-pemimpin yang dekat dengannya sebelum ini bahawa terdapat pemimpin tertentu dalam Umno yang "busuk hati" padanya dan melabelkan mereka "munafik" kerana enggan menaikkannya semula sebagai menteri besar.

"Mereka cucuk-cucuk orang dan mereka adalah dari kalangan orang-orang yang dianggap munafik. Jangan dekati orang munafik sebab Allah akan campak (anda) dalam neraka," katanya lagi.

Shahidan semalam berkata beliau akan ke istana tengah hari ini untuk mendapatkan watikah pelantikan setelah pengerusi BN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersetuju menyambung khidmatnya.

shahidan group at putrajaya 140308 perlis group Adun Tambun Tulang itu malah memberi kata dua kepada pemimpin dan ahli yang membantah keputusan tersebut - mereka boleh dikenakan tindakan disiplin atau keluar daripada Umno.

"Ini keputusan Perdana Menteri, mereka mesti menyokong keputusan presiden parti (Umno)," kata Shahidan dalam sidang media di ibu negara malam tadi selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa BN Perlis yang turut dihadiri oleh ketua MCA dan MIC negeri.

"Saya sebenarnya memberi dua pilihan kepada mereka. Pertama dikenakan tindakan (disiplin) atau keluar dari parti."

BN Perlis digoncang krisis berlarutan untuk mencari calon MB baru walaupun ia mengulangi kemenangan besar, menguasai 14 daripada 15 kerusin DUN dan mengekalkan ketiga-tiga parlimen pada pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Penyokong Shahidan mendakwa beliau disekat oleh seorang tokoh besar di peringkat pusat - yang mencetuskan konflik menjelang penamaan calon.

Krisis itu mula menjadi pertembungan terbuka hujung tahun lepas apabila setiausaha agung Umno, yang juga menteri dan ketua bahagian Kangar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad memberi kenyataan terbuka tentang kepemimpinan Shahidan, antaranya mendesak beliau meletakkan jawatan.

Sementara itu, sewaktu dihubungi Malaysiakini petang ini, ketua penerangan Umno negeri Datuk Hashim Suboh berkata mereka tidak mengiktiraf pelantikan Mat Isa.

"Jika kita mengiktirafnya, akan rosak demokrasi dan sistem pilihanraya," katanya, sambil menambah "kita anggap beliau seorang MB (calon) bebas".

BN tetap dengan pendirian Shahidan sebagai menteri besar, tambahnya.

"Rakyat melihat pelantikan Mat Isa tidak mengikut prosedur. Apa makna sistem berparti jika tidak ikut parti?" tambahnya.

"Kita tidak boleh halang rakyat jika mereka bangkit mengadakan tunjuk perasaan."

Beliau membayangkan BN Perlis boleh mengambil tindakan disiplin kepada Adun Bintong itu jika beliau terus memegang jawatan tersebut.

Awal malam ini, Perdana Menteri dilaporkan berkata calon pilihannya tetap Shahidan, dan bukannya Mat Isa.

Malaysiakini
terkini untuk anda