Radzi letak jawatan SUA Umno, BN

   

kemaskini 3:26pm Ahli parlimen Kangar, Datuk Radzi Sheikh Ahmad yang tidak dilantik semula ke kabinet, meletakkan jawatan sebagai setiausaha agung Umno dan Barisan Nasional (BN) berkuatkuasa serta-merta.

Beliau memberikan alasan tidak dapat lagi meneruskan tugas-tugas tersebut secara berkesan.

"Saya rasa saya tidak boleh lagi bekerja.

"Pertamanya saya tidak lagi berada dalam kabinet. Jadi saya tidak boleh bekerja dengan berkesan sebagai setiausaha agung ...

"Saya tidak boleh bekerja," katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Radzi berkata keputusannya itu telah dimaklumkan kepada Abdullah,

yang juga presiden Umno dan pengerusi BN, melalui telefon pagi

ini dan menerusi sepucuk surat rasmi.

Perdana Menteri telah menerima peletakan jawatan beliau, katanya.

Tidak lama selepas keputusan Radzi, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang turut digugurkan daripada kabinet, dilaporkan dilantik setiausaha agung baru Umno dan BN.

umno and radzi sheikh ahmad Pengguguran Radzi daripada kabinet dipercayai ada kaitan dengan kekalutan politik Umno Perlis, khususnya berhubung pelantikan menteri besar.

Beliau didakwa memainkan peranan penting menaikkan wakil Bintong, Datuk Dr Md Isa Sabu, sebagai pengganti Datuk Seri Shahidan Kassim.

Pada penggal lepas, Radzi memegang jawatan menteri hal-ehwal dalam negeri.

Sebelum pilihanraya umum lalu, Radzi secara terbuka mengecam Shahidan yang menurutnya harus diganti.

Selain Radzi, ahli parlimen Padang Besar, Datuk Azmi Khalid juga tidak dilantik semula menganggotai kabinet yang diumumkan perdana menteri samalam.

Radzi bagaimanapun menafikan peletakan jawatannya ada kaitan dengan kemelut Umno di Perlis yang menyaksikan penyingkiran Shahidan.

"Saya tidak fikir begitu. Saya gembira dengan kepimpinan di Perlis,"

katanya.

Radzi tidak menafikan bahawa beliau menerima tekanan, bagaimanapun menyifatkannya sebagai perkara biasa dalam politik.

Beliau dilahirkan pada 24 Februari 1942 di Jalan Pegawai, Kangar, Perlis. Beliau mendapatkan pendidikan awal di Sekolah Melayu Kangar sebelum meneruskan pendidikan di Maktab Tentera Diraja.

Pada 1961 beliau mengambil Barrister-at-Law, Inns of Court di Middle Temple, London.

Beliau pernah bertugas dengan perkhidmatan kehakiman sebagai timbalan pendakwa di Selangor dan kemudian presiden Mahkamah Sesyen di Klang. Kemudian beliau meninggalkan perkhidmatan kehakiman dan membuka firma guamannya sendiri.

Kerjaya beliau dalam politik bermula apabila menang di kerusi Kangar pada 1982 dan dilantik sebagai setiausaha parlimen Kementerian Pertanian.

Pada tahun 1989, beliau menyertai Parti Melayu Semangat 46 selepas Umno diharamkan dan beliau dipecat daripada Umno.

Beliau kemudian menyertai semula Umno pada tahun 1990 selepas keluar daripada parti serpihan Umno itu dan dipilih bertanding semula di kerusinya kini pada 2004.

Selepas itu, Radzi dilantik menteri di Jabatan Perdana Menteri dan kemudiannya Menteri Dalam Negeri pada 2006.

Beliau dilantik sebagai setiausaha agung Umno pada 1 Jun 2004 menggantikan Tun Mohd Khalil Yaakob yang dilantik sebagai Yang Di-Pertua Negeri Melaka.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In