Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

analisis Jika majlis angkat sumpah menteri besar Terengganu dipulaukan oleh semua wakil rakyat BN esok, parti itu kini berdepan dengan tanggapan umum bahawa ia sengaja mencipta masalah dengan istana - sekali gus melanjutkan krisis sejak tamatnya pilihanraya umum 8 Mac.

ahmad said terengganu 230308 Hari ini, selepas keadaan tidak pasti selama 14 hari tanpa calon menteri besar, istana melantik wakil rakyat Kijal Datuk Ahmad Said (foto) menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh.

Majlis angkat sumpah dijadual pagi esok di Istana Tamu, Kuala Terengganu.

Namun 23 lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dengan diketuai oleh setiausaha badan perhubungan Umno negeri Datuk Rosol Wahid mengisytiharkan secara terbuka untuk memulaukan majlis tersebut.

Usaha ini kelihatan sudah dirancang lebih awal apabila sumber-sumber Umno negeri memberitahu Malaysiakini kelmarin, Idris yang juga pengerusi BN negeri meminta semua Adun - kecuali Ahmad - menurunkan tandatangan sokongan kepadanya.

Sumber itu juga tidak senang apabila Idris membuat kenyataan menyeru rakyat Terengganu agar bertenang sementara menunggu menteri besar baru dilantik.

Idris seolah-olah memberi gambaran rakyat masih bersamanya, kata sumber itu lagi.

Sumber-sumber Umno itu bimbang penduduk akan memandang serong kepada Umno dan membawa kesan politik yang negatif apabila parti itu dilihat cuba menentang istana.

idris jusoh 00 Hari ini, sebelum sidang media Rosol, wakil-wakil rakyat BN bertemu Idris di kediaman rasmi menteri besar dan kemudian masing-masing menurunkan tandatangan sekali lagi bagi menyokong Idris untuk diserahkan kepada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) jam 9 pagi esok.

Tandatangan sokongan tadi kali ketiga dikeluarkan sejak krisis ini - satu kempen tandatangan sokongan wakil-wakil BN kepada Idris pernah diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada pertemuan mereka Sabtu lepas.

Selain boikot, beberapa wakil BN bercadang meletakkan jawatan, kata Rosol lagi.

Menurutnya, mereka juga akan mengusulkan undi tidak percaya terhadap menteri besar baru itu di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dua langkah ini satu ancaman keras kepada Ahmad dan boleh menggugat kestabilan politik negeri, khususnya hubungan antara BN dengan istana.

rosol wahid Kenyataan Rosol, yang dikatakan penyokong setia Idris, petang tadi mengulangi ugutan DAP memulaukan majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, Mohamad Nizar Jamaluddin minggu lepas atas alasan parti itu menolak wakil rakyat PAS sebagai calon jawatan tersebut.

Kenyataan pemulauan tokoh utama DAP Lim Kit Siang itu telah menyebabkan istana Perak menangguhkan majlis itu dan mengesyorkan semua 31 wakil DAP, PKR dan PAS menandatangani persetujuan dengan calon menteri besar itu.

Suasana berkonflik di negeri pakatan tiga pembangkang utama itu kini telah selesai, seperti juga krisis pelantikan menteri besar Perlis - perebutan antara Datuk Seri Shahidan Kassim dengan penggantinya Datuk Dr Mat Isa Sabu.

Shahidan, yang terus-menerus mendakwa hingga saat akhir mendapat sokongan Perdana Menteri, tidak hadir di majlis angkat sumpah.

perak cm mb mohamad nizar jamaluddin Kedua-dua kebingungan ini selesai dengan Shahidan dilaporkan menerima Isa demi kebaikan Umno dan BN di negeri itu, dan Lim pula memohon maaf kepada istana dan menghadap sendiri Pemangku Raja Perak selepas majlis angkat sumpah Mohamad Nizar.

Walaupun berita pelantikan Ahmad tidak begitu mengejutkan tetapi pemulauan majlis angkat sumpah esok benar-benar satu tamparan kepadanya dan sekali gus MPPR.

MPPR minggu lalu gagal mengadakan pertemuan di Putrajaya dengan wakil-wakil BN apabila majlis yang dijadual pada 11 pagi dibatalkan di saat-saat akhir. Dua puluh wakil parti itu kemudian mengadakan perjumpaan dengan Abdullah.

Di Terengganu pula, naik beberapa puluh sepanduk menyatakan sokongan kepada istana. Sepanduk yang memuatkan antaranya perkataan "Daulat Tunku" dan kesediaan rakyat bersama istana itu bagaimanapun diturunkan selepas dua jam kemudian.

Dalam satu kes kelmarin, polis berjaya menahan empat lelaki berusia 23 hingga 27 tahun kerana dipercayai membawa 20 helai kain rentang di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu berhubung pelantikan menteri besar.

Kain rentang itu yang dirampas awal pagi itu antaranya bertulis "Daulat Tuanku Selamatkan Terengganu Darul Iman" serta "Daulat Tuanku, Rakyat Berdiri di Belakang DYMM Tuanku".

ayub yaakob terengganu police chief Semalam ketua polis negeri Datuk Ayub Yaakob pula memberi amaran agar penduduk tidak menyebarkan SMS mengaitkan isu itu dengan pihak istana kerana bimbang ia menimbulkan keresahan dan kekeliruan rakyat, selain mencemarkan institusi diraja itu sendiri.

Dalam keadaan tidak pasti itu, Peguam Negara turut mengeluarkan kenyataan bahawa DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak terlibat dalam isu tersebut.

Tan Sri Abdul Gani Patail menyatakan, Sultan Terengganu yang juga Yang di-Pertuan Agong dilarang terlibat dalam hal-ehwal pentadbiran negeri kecuali menyentuh kepentingan Islam.

Calon menteri besar bukanlah pilihan baginda, kata Abdul Gani lagi.

Malam ini, selepas melaporkan perkembangan istana telah melantik Ahmad sebagai menteri besar, tiba-tiba sebuah stesen televisyen swasta melaporkan, seorang ahli politik Terengganu kini sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung beberapa projek di Kijal.

Siapakah ahli politik Terengganu yang tidak disebutkan namanya dalam laporan TV3 itu tetapi disiasat BPR kerana projek-projek di Kijal?

tengku adnan mansor 041007 Terkini: Setiausaha agung BN dan Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor lewat malam ini dilaporkan memberi amaran keras kepada Adun Kijal.

Datuk Ahmad Said akan dikenakan tindakan disiplin Umno dan "menanggung akibat" jika beliau tetap bersedia menerima pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan menteri besar esok, lapor Bernama .

Bagaimanapun, Tengku Adnan enggan mendedahkan apakah bentuk tindakan disiplin yang bakal dikenakan terhadap Ahmad.

Beliau menambah, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga presiden Umno, telah mengeluarkan surat sokongan kepada Datuk Seri Idris Jusoh sebagai menteri besar dan tidak wajar Ahmad menerima jawatan itu.

Sementara itu, Malaysiakini difahamkan ada pihak-pihak tertentu yang dekat dengan Umno bercadang mengadakan perhimpunan di sebuah hotel tidak jauh dari Istana Tamu.

ADS