Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

analisis kemaskini 10:30pm Dua tiga hari menjelang pilihanraya umum 8 Mac, Perdana Menteri dan timbalannya mengakui bahawa Terengganu pada awalnya berdepan dengan masalah besar akibat bantahan akar umbi isu calon muka baru.

Melalui wawancara secara langsung di TV, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Mohd Najib Razak bagaimanapun berkata isu itu "sudah selesai" pada minggu kedua kempen.

Akibat pengguguran 12 muka lama termasuk bagi kerusi parlimen, bantahan terbuka beberapa ratus pengikut ketua-ketua bahagian Marang, Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu itu disifatkan "tidak pernah berlaku" dalam sejarah Umno negeri.

Minggu kedua kempen menyaksikan Umno kembali memerintah negeri itu dengan kemenangan selesa - mengekalkan 24 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri dan tujuh daripada lapan kerusi parlimen.

Di Semenanjung, kemerosotan undi BN di Terengganu kali ini paling sedikit, 1.2 peratus sahaja, berbanding pilihanraya umum 2004.

Berbeza dengan negeri-negeri di pantai barat yang menyaksikan kemerosotan ketara - antara 12 hingga lebih 20 peratus - sehingga menyebabkan empat negeri jatuh ke tangan pembangkang.

Namun, kemenangan besar BN di negeri pantai timur tidak menguntungkan pengerusi BN, yang juga ketua badan perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Idris Jusoh.

Krisis pencalonan rupa-rupanya terus menghantui Idris apabila majoriti ketua bahagian tetap membantah beliau dilantik kembali sebagai menteri besar.

Macam Shahidan

Krisis Idris dengan ketua-ketua bahagian kini muncul dalam bentuk ketegangan antara BN dengan istana - Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) tidak memberi perkenan kepada Idris, sebaliknya memilih Datuk Ahmad Said.

Seperti nasib Datuk Seri Shahidan Kassim di Perlis yang gagal dilantik semula sebagai menteri besar, surat sokongan Perdana Menteri kepada Idris kini tidak memadai - ada kuasa-kuasa lain yang boleh mencabarnya dan mengatasinya.

Sama ada kuasa itu di peringkat istana atau bahagian Umno, yang jelas ketua perhubungan Umno negeri kini tidak boleh mengharapkan sokongan presiden Umno semata-mata untuk dilantik mengetuai kerajaan negeri.

Ahmad, yang mengepalai bahagian Kemaman, termasuk tujuh ketua bahagian yang bertemu Idris di kediaman rasminya bagi menyatakan rasa tidak berpuas hati mereka berhubung calon-calon BN menjelang 24 Februari, seorang ketua bahagian memberitahu Malaysiakini pada hari penamaan calon.

Pertemuan kedua mereka dengan Idris itu selepas beliau mengumumkan senarai calon beberapa hari sebelum hari penamaan calon.

Mereka mempertikaikan beberapa calon lama digugurkan tanpa sebarang perbincangan.

(Idris, beberapa hari kemudian, menafikan tidak pernah berunding dengan mereka dalam satu sidang media selepas bertemu Perdana Menteri. Beliau juga mendakwa senarai calon itu keputusan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.)

Tidak tunai janji

Dalam pertemuan pertama, Malaysiakini difahamkan, Idris telah berjanji kepada semua bahagian bahawa nama mereka akan tersenarai dan mereka dikehendaki hadir di majlis pengumuman calon 20 Februari.

Bagaimanapun kejutan besar singgah di muka ketua-ketua bahagian yang hadir apabila nama mereka digugurkan - Datuk Abdul Rahman Bakar (Marang), Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Hulu Terengganu) dan Datuk Dr Rosli Mat Hassan (Dungun) tidak tersenarai untuk mempertahankan kerusi masing-masing.

Selain mengetuai bahagian, Abdul Rahman, bekas timbalan menteri, dan Tengku Putera adalah ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang menang dalam pemilihan pada 2004.

Turut tidak disenarai semula untuk bertanding, dua exco negeri: Datuk Dr Abdul Latiff Awang dan Wan Mohd Wan Hassan.

Paling menyakitkan apabila calon kerusi parlimen Marang digantikan dengan muka baru - tidak lain dan tidak bukan setiausaha Idris sendiri, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir - untuk mencabar presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Akhirnya kerusi parlimen itu, sememangnya kubu kuat PAS, jatuh kembali ke tangan Abdul Hadi - antaranya akibat undi protes dan sabotaj penyokong Umno.

Kerusi negeri Bukit Payong, yang disandang Dr Abdul Latiff tetapi digugurkan oleh Idris, jatuh ke tangan PAS.

Di Dungun, Dr Rosli digantikan dengan Matulidi Jusoh, dikatakan penyokong Idris.

Ahli parlimen lain yang digugurkan termasuklah timbalan ketua bahagian Kuala Nerus, Che Azmi A Rahman dan ketua penerangan bahagian Setiu, Mohd Yusop Majid.

Maka tidaklah menghairankan apabila beberapa ratus penyokong mereka, antaranya hadir dengan beberapa buah bas, mengadakan demonstrasi selama beberapa hari, termasuk di sebelah malam, di depan kediaman rasmi Idris.

Mengulas bantahan ini, Idris menyifatkan ratusan penyokong Umno ini sebagai "isteri sedang marah".

Tuntut talak tiga

"Orang tengah marah... macam isteri kita juga, kalau tengah marah, kita lawan tak bolehlah... kita dengar dahulu, kita cool down dulu. Kalau kita lawan sama, habislah periuk mangkuk berterabur," katanya.

Sekarang isteri bukan sahaja marah dan periuk mangkuk bertaburan, tetapi kelihatannya menuntut talak tiga!

Umno menang besar, jika dibandingkan negeri-negeri lain yang gagal menahan amukan badai "tsunami politik" 8 Mac, dan dugaan ramai tiada lagi isu di Terengganu.

Idris tentunya boleh terus berkuasa dan tidur dengan lena.

Bagaimanapun jelas sekali, walaupun sebahagian besar pemimpin bahagian tidak lagi menjadi wakil rakyat, Umno menunjukkan kuasa sebenar mereka adalah berasaskan kekuatan politik di peringkat itu - akar umbi.

Tengku Putera, timbalan ketua badan perhubungan Umno negeri, semalam mendakwa tujuh ketua bahagian sebulat suara menyokong Ahmad.

Tidak lama selepas itu, Rosol bagaimanapun menafikan bahawa Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (ketua Kuala Nerus) dan Datuk Mohd Jidin Shafee (Setiu) menyokong Ahmad.

Namun kedua-duanya pula, seperti dilaporkan oleh akhbar New Straits Times hari ini, enggan mengulas isu tersebut - dan tidak menunjukkan sokongan atau hentaman kepada Ahmad.

Datuk Wan Mohd Farid Wan Salleh, ketua bahagian Kuala Terengganu dan bekas setiausaha Abdullah, tentunya bersama presiden.

Berbekalkan watikah pelantikan semalam, Ahmad bersedia ke Wisma Darul Iman esok - walaupun 22 wakil rakyat BN, termasuk seorang MCA, tidak bersamanya.

Bagaimanakah Umno negeri yang kini terpecah dua, antara kumpulan pro-Idris dengan pro-Ahmad, menyelesaikan krisis ini? Apakah istana akan mencalonkan satu nama baru? Atau, bertegas dengan pelantikan Ahmad?

Tiada yang jelas saat ini kecuali satu: Istana telah menolak Idris, maka carilah calon lain - sekali pun Perdana Menteri tidak bersetuju dengan Ahmad.

ADS