Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M: Suruh tribunal mohon maaf
Diterbitkan:  Mar 28, 2008 5:41 PM
Dikemaskini: 5:25 PM

“Suruh tribunal mohon maaf.”

lingam tape inquiry day 4 170108 mahathir Itulah reaksi bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap desakan supaya beliau memohon maaf atas "kesilapan-kesilapan" sewaktu berlakunya krisis kehakiman pada 1988.

Dalam tulisannya yang disiarkan dalam akhbar berbahasa Inggeris The Sun , Dr Mahathir berkata bukan beliau yang memecat ketua hakim negara Tun Mohd Salleh Abbas dan hakim-hakim Mahkamah Agung, Tan Sri Wan Sulaiman Pawanteh dan Tan Sri George Seah.

Oleh itu, katanya, beliau tidak sepatutnya memohon maaf.

Jika ada pihak yang perlu memohon maaf, katanya, mereka adalah anggota tribunal yang dipengerusikan oleh Tun Hamid Omar yang memecat Salleh.

Dr Mahathir juga berkata, beliau sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat sebarang "kesalahan" selama 22 tahun beliau menjadi perdana menteri.

Kecuali ada penganiayaan, katanya, tiada sebarang kesalahan yang dilakukannya sepanjang tempoh tersebut.

Mengenai gesaan pengerusi DAP Karpal Singh supaya beliau memohon maaf terhadap krisis kehakiman pada 1988, Dr Mahathir berkata tuduhan-tuduhan terhadapnya, termasuk pemecatan hakim-hakim, bukan dilakukan olehnya dan kerana itu, beliau tidak patut memohon maaf.

"Suruh (anggota) tribunal memohon maaf," katanya dalam tulisan tersebut.

Dr Mahathir juga membidas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang menggesa kerajaan memohon maaf atas pemecatan dan penggantungan lima hakim terbabit.

Beliau berkata, peguam (Zaid) berkenaan telah "lupa" bahawa beliau turut menyokong tindakan tersebut ketika itu.

judiciary forum lingam tape 171107 salleh abbas palace of justic "Orang yang meminta kerajaan memohon maaf terhadap apa yang berlaku kepada Tun Salleh Abbas mungkin telah lupa bahawa ketika menjadi presiden Persatuan Peguam Islam, beliau (Zaid) menyokong sepenuhnya tindakan yang diambil ketika itu.

"Beliau menyelar Majlis Peguam kerana mengecam Tun Hamid Omar berhubung pemecatan hakim-hakim terbabit. Sekarang beliau mahu menjadi 'lebih betul daripada betul', saya bertanya-tanya mengapa," tambahnya.

Pada 1988, sebuah tribunal khas ditubuhkan untuk mendengar tuduhan-tuduhan salah laku terhadap Salleh dan kerana mempertikaikan pindaan perlembagaan yang telah menghakis kuasa badan kehakiman.

Hakim Mahkamah Agung - George Seah dan Wan Sulaiman - yang memutuskan bahawa penubuhan tribunal itu tidak mengikut perlembagaan - juga turut dipecat selepas didapati bersalah atas tuduhan salah laku oleh satu lagi tribunal.

Perkhidmatan tiga orang hakim - Datuk Azmi Kamaruddin, Datuk Eusoffe Abdoolcader dan Datuk Wan Hamzah Mohamed Salleh - turut digantung.

Siasat salah laku di Terengganu

Dalam tulisan yang sama, Dr Mahathir turut menyarankan agar diadakan siasatan - sebaik-baiknya oleh agensi asing yang berwibawa - mengenai dakwaan berlaku salah laku dan penyelewengan kuasa, sehingga menyebabkan pihak istana menolak calon menteri besar pilihan BN.

abdullah ahmad badawi and idris jusoh and ahmad said and terengganu Menurutnya, terdapat khabar-khabar angin yang mendakwa pelbagai projek yang dijalankan di negeri itu, bernilai berbilion-bilion ringgit, adalah tidak perlu dan membazir dan kontraknya diperolehi oleh orang luar Terengganu yang didakwa didukung oleh anggota keluarga pemimpin tertinggi negara.

Juga didakwa bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Badawi telah "mempengaruhi" bekas menteri besar Datuk Idris Jusoh yang didakwa bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di negeri itu dan dia juga didakwa turut mendapat keuntungan kewangan, kata Dr Mahathir.

"Semua ini adalah khabar angin. Adalah agak mustahil untuk membuktikan apa-apa kerana mereka yang melakukannya, pandai untuk melindungi diri masing-masing," katanya lagi.

Di samping itu, kata Dr Mahathir lagi, rakyat "tidak yakin" dengan siasatan yang dijalankan oleh agensi dan jabatan kerajaan kerana mereka mendakwa berlaku campur tangan kerajaan.

"Untuk membersihkan namanya, kerajaan perlu mendapatkan khidmat agensi asing yang berwibawa untuk menjalankan siasatan. Tentulah, mereka (agensi asing itu) mesti diberi akses sepenuhnya terhadap dokumen dan lain-lain," kata Dr Mahathir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS