Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kenapa tahan Hindraf, Umno bebas?
Diterbitkan:  Apr 3, 2008 12:12 PM
Dikemaskini: 7:17 PM

Jika lima pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) mengancam keselamatan negara kerana menganjurkan demonstrasi, kenapa pemimpin Umno yang menunjuk perasaan dibiarkan tanpa tindakan?

Demikian pertanyaan yang diungkit parti Gerakan Wilayah Persekutuan berhubung sikap terbaru Kementerian Dalam Negeri yang enggan membebaskan pemimpin Hindraf walaupun MIC sendiri kini menggesa kelima-limanya dibebaskan.

"Malah, demonstrasi di Komtar (Pulau Pinang) itu berasaskan sentimen perkauman dan boleh membangkitkan isu-isu perkauman," kata penolong setiausaha Gerakan Wilayah Persekutuan, K K Supramaniam dalam satu kenyataan.

"Datuk Seri Hamid Albar tidak boleh terus menahan mereka bawah ISA apabila tidak lagi wujud ancaman keselamatan.

"Banyak parti politik dan badan bukan kerajaan menggesa kelima-lima mereka dibebaskan tetapi hanya kerajaan yang berdegil mempertahankan penahanan mereka atas sebab keselamatan."

penang komtar umno protest 140308 anger Supramaniam merujuk tunjuk perasaan besar yang diadakan di kaki bangunan kompleks kerajaan negeri Pulau Pinang anjuran Umno bagi membantah kenyataan ketua menteri baru, Lim Guan Eng, berhubung isu Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Demonstrasi 14 Mac itu diketuai tokoh-tokoh Umno negeri, antaranya bekas timbalan ketua menteri Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah, setiausaha perhubungan Umno negeri Datuk Azhar Ibrahim, wakil rakyat Sungai Dua - Datuk Jasmin Mohamed, dan ketua bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Mengulas gesaan presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu hujung minggu lalu, Syed Hamid berkata bekas menteri itu berhak menyuarakan apa yang diperjuangkan oleh partinya.

"Tugas saya ialah menentukan apa juga isu yang dibuat, bukan satu keputusan berasaskan keputusan saya, tetapi berasaskan proses-proses yang diiktiraf undang-undang dalam menentukan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjamin," kata Syed Hamid awal minggu ini.

bm lima tahanan hindraf Samy Vellu menggesa semua pemimpin Hindraf dibebaskan - dua daripadanya wajar dibebaskan lebih awal atas alasan R. Kenghadaran mengalami sakit teruk dan M. Manoharan menang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor dalam pilihanraya 8 Mac.

Bekas menteri kerja raya itu juga berkata dua lagi ketua Hindraf wajar dibebaskan - V. Ganabatirau dan K. Vasantha Kumar - kerana "pembabitan mereka tidak begitu mendalam" dalam demonstrasi besar di Kuala Lumpur 25 Nov lepas.

P. Uthayakumar, seorang peguam dan aktivis sosial masyarakat India, pemimpin Hindraf yang kini meringkuk di kem tahanan Kamunting di Taiping.

Pemimpin Gerakan Wilayah Persekutuan itu, dalam kenyataannya semalam, kelima-lima pemipin Hindraf itu pernah cuba bertemu dan berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi "tetapi tidak dipedulikan atau ditonjolkan sebagai (pihak) yang tidak relevan, bebal dan tersisih."

"Apa lagi yang seseorang boleh buat jika dilayan sebegitu rupa?" kata Supramaniam.

"Sekarang, majoriti rakyat Malaysia, termasuk parti-parti politik telah menggesa lima pemimpin itu dibebaskan. Orang ramai kini sudah kecewa atas penangguhan pembebasan mereka."

ADS