Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Black 14: Polis mahu siasat Anwar
Diterbitkan:  Apr 17, 2008 7:58 PM
Dikemaskini: 12:17 PM

Polis sedang menyiasat pembabitan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis makan malam 'Black 14' anjuran parti itu di Kelab Sultan Suleiman di ibu negara Isnin lalu.

Ketua polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata polis sedang menyiasat pembabitan mantan timbalan perdana menteri itu di majlis tersebut yang, menurutnya, kemudian bertukar menjadi perhimpunan haram.

"Kami perlu merekod kenyataan beliau bagi memudahkan siasatan. Bagaimanapun, kami belum memanggil beliau dan kami akan berbuat demikian apabila perlu.

anwar ibrahim april 14 kg baru event 150408 21 "Berucap di tempat awam tanpa permit polis menyalahi undang-undang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program tanggungjawab sosial Polis Diraja Malaysia-Public Bank hari ini.

Menurut Bernama , Muhammad Sabtu berkata hanya tiga pemimpin utama PKR sepatutnya berucap di majlis berkenaan: naib presiden Mohamed Azmin Ali, menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan timbalan pengerusi Kelab Sultan Suleiman, Datuk Mokhtar Ahmad.

"Nama Anwar tidak ada dalam senarai yang kami terima pada 8 April. Malah, apabila kami memanggil mereka untuk berbincang tentang majlis makan malam itu Jumaat lalu, penganjurnya tidak hadir," beliau dipetik sebagai berkata.

Kira-kira 20,000 penyokong pembangkang, khususnya PKR, menyertai perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman yang bersejarah itu.

Program yang digelar "Dari Black 14 ke Arah Kemenangan Rakyat" dianjurkan sempena tamatnya larangan berpolitik selama lima tahun terhadap Anwar mulai Selasa.

Selain Khalid dan Azmin, semalam presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi kenyataan kepada polis di ibu pejabat kontinjen polis Selangor berhubung perhimpunan tersebut.

ADS