Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kit Siang: Tidak cukup ex-gratia
Diterbitkan:  Apr 18, 2008 10:59 AM
Dikemaskini: 6:50 AM

Tokoh utama DAP Lim Kit Siang berkata tidak cukup ex-gratia untuk enam bekas hakim kanan bagi memulihkan badan kehakiman yang dilanda krisis besar sejak dua dekad lalu.

Mengulas pengumuman perdana menteri malam tadi, Lim berkata seluruh rakyat Malaysia turut menjadi mangsa kepincangan tersebut dan beliau mencadangkan penubuhan "suruhanjaya kebenaran dan perdamaian" bagi menyiasat "ibu segala krisis kehakiman."

Tambahnya, suruhanjaya ini tidak bertujuan menghukum tetapi mencari punca-punca negara berada dalam kegelapan kehakiman - "kenapa beberapa kumpulan berkepentingan, badan kehakiman, parlimen, media massa dan masyarakat sivil gagal mempertahankan prinsip maha penting pemisahan kuasa dan kehakiman yang bebas".

"Hanya dengan siasatan lengkap dan melihat ke dalam diri (bangsa ini) kita dapat memastikan tiada lagi 'kegelapan kehakiman' di Malaysia," katanya, yang juga ahli parlimen Ipoh Timur.

bar council judiciary dinner 170408 salleh abas interviewed Kerajaan memutuskan untuk memberikan bayaran tersebut kepada enam hakim yang tersingkir akibat krisis kehakiman 1988 - dianggap detik mula kemerosotan sistem kehakiman Malaysia - sebagai "menghargai sumbangan mereka".

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan mengiktiraf jasa-jasa mereka: bekas ketua hakim negara Tun Salleh Abbas, dan lima hakim kanan Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh, Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh dan Datuk George Seah.

Kesemua hakim itu digantung tugas selepas mereka berdepan dengan tribunal atas alasan melakukan salah laku kehakiman.

Eusoffe dan Wan Suleiman telahpun meninggal dunia.

Lim, yang juga bekas ketua pembangkang di Dewan Rakyat, bagaimanapun mengalu-alukan langkah perdana menteri itu sebagai langkah awal reformasi kehakiman walaupun pengumuman malam ini agak terlambat seperti dijanjikan empat tahun lepas.

Pemangku presiden Gerakan juga menyokong usaha awal kerajaan untuk memulihkan badan kehakiman seperti diumumkan.

Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata ia "langkah tepat menuju arah yang tepat" dan berharap kerajaan segera mengambil tindakan konkrit menubuhkan suruhanjaya pelantikan hakim yang dianggotai oleh pengamal undang-undang dan wakil masyarakat sivil.

ADS