Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Merusuh kerana terlalu lama ditahan?
Diterbitkan:  Apr 23, 2008 6:47 PM
Dikemaskini: 1:58 PM

Tindakan kira-kira 60 warga Myanmar merusuh di pusat tahanan Imigresen di Lenggeng Isnin lalu mungkin berpunca daripada kekecewaan mereka yang terlalu lama ditahan kerana gagal ditempatkan semula di negara ketiga.

“Ramai pelarian tersebut hidup dalam tekanan kerana terlalu lama ditahan di pusat tahanan dan menghadapi masa depan yang tidak menentu,” kata Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Burma (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani.

lenggeng detention camp myanmar burmese detainees incarcerated 220408 Menurutnya, tindakan berterusan pihak berkuasa menahan pelarian di negara ini mengakibatkan berlaku kesesakan di pusat-pusat tahanan tetapi tiada kemajuan dalam permohonan untuk penempatan semula mereka di negara ketiga.

Akibatnya, tambah beliau, berlakunya rusuhan sepertimana di pusat tahanan imigresen Lenggeng di mana warga Myanmar terbabit bertindak liar dan membakar pejabat pentadbiran.

Pusat itu menempatkan 820 tahanan yang terdiri daripada rakyat Nepal, Vietnam, Indonesia, Kemboja, Sri Lanka dan Thailand kerana memasuki negara tanpa dokumen sah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Zafar berkata, ada pelarian yang menunggu sejak tiga hingga empat tahun lalu untuk Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) menempatkan semula mereka di negara ketiga.

Katanya, pelarian berkenaan tidak mahu dihantar pulang ke Burma kerana mereka akan ditahan semula oleh pihak junta negara tersebut.

Tingkat dialog

Sehubungan itu, beliau merayu kepada kerajaan Malaysia supaya berhenti menangkap pelarian, dan pada masa yang sama, menggesa UNHCR meningkatkan dialog dengan negara-negara ketiga supaya menerima pelarian, tanpa mengira kaum, agama dan sebagainya.

MERHROM juga, kata beliau, mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya:

bullet button Menghentikan tangkapan pelarian yang mencari perlindungan di negara ini.

bullet button Membebaskan tahanan yang sedang ditahan di serata tempat.

bullet button Memberikan mereka (pelarian) dokumen perjalanan sementara untuk terus tinggal di Malaysia sehingga selesai soal penempatan semula.

bullet button Memberhentikan pengasingan di sempadan Thailand yang menyebabkan nyawa mereka dalam bahaya.

bullet button Meningkatkan tekanan terhadap junta untuk mengembalikan demokrasi di Burma.

ADS