Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ku Li dakwa ahli dihalang hadir ceramahnya
Diterbitkan:  May 5, 2008 2:05 PM
Dikemaskini: 2:48 PM

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau mendapat maklumat bahawa ada ahli Umno diugut supaya tidak menghadiri ceramahnya di Batu Pahat petang semalam dan di Muar malam tadi.

Katanya beliau menerima aduan dari penganjur ceramahnya, iaitu Pemuda Umno Cawangan Bandar dalam Bahagian Batu Pahat, dan ahli jawatankuasa Umno Bahagian Muar.

ku li tengku razaleigh and umno agm 241106 "Ketua-ketua cawangan yang dijemput telah diminta supaya tidak hadir dalam perjumpaan itu dan ada sesetengahnya menerima ugutan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah "Ke Mana Umno dan Orang Melayu Selepas Pilihanraya Umum ke-12", di sebuah hotel di Muar malam tadi.

Seramai 500 orang termasuk ahli jawatankuasa Umno bahagian-bahagian Ledang, Muar, Bakri dan Pagoh hadir, demikian menurut laporan Bernama.

Tengku Razaleigh berkata kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku kerana ceramah itu bukan perjumpaan haram.

Beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku ekoran hasratnya untuk bertanding merebut jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini.

Ketua bahagian nafi

Sementara itu, Ketua Bahagiannya Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, bahagian tersebut tidak pernah menghalang mana-mana ahlinya, termasuk ketua-ketua cawangan bahagian itu daripada menghadiri satu majlis ceramah oleh Tengku Razaleigh semalam.

Ketua Bahagiannya Dr Mohd Puad Zarkashi bagaimanapun berkata, surat telah diedarkan kepada kesemua 143 ketua cawangan bahagian bertujuan memaklumkan bahawa Umno bahagian tidak terlibat di dalam penganjuran majlis terbabit.

"Ia (surat) adalah untuk menjelaskan bahawa Umno bahagian tidak terbabit menganjurkannya, kerana di dalam kad jemputan majlis, ia menyatakan salah satu penganjur adalah cawangan-cawangan Umno dalam Bahagian Batu Pahat yang mengambarkan seolah-olah Umno Bahagian Batu Pahat terlibat (sebagai penganjur)," katanya kepada Bernama.

Menurutnya, disebabkan kesuntukan masa, Umno bahagian turut telah menghubungi beberapa ketua cawangan bagi menjelaskan tentang kedudukan sebenar tentang penganjuran majlis yang dihadiri oleh tokoh veteran Umno itu.

Mohd Puad yang juga ahli parlimen Batu Pahat mengulas kenyataan Tengku Razaleigh bahawa ada di kalangan anggota Umno dan ketua-ketua cawangan Umno Bahagian Batu Pahat telah dihalang dan diugut agar idak menghadiri majlis tersebut.

Mohd Puad juga berkata, beliau sendiri sebenarnya ingin menghadiri majlis ceramah oleh Tengku Razaleigh terbabit sebagai menghormati pemimpin politik tersebut, tetapi membatalkannya kerana berada di Kuala Lumpur untuk sidang Dewan Rakyat.

ADS