Sekitar sidang parlimen hari ini

Kos menyiarkan siaran langsung sepenuh hari sesi sidang parlimen dianggarkan sebanyak RM100,000 atau RM3 juta sebulan, kata menteri penerangan, Datuk Ahmad ahmad shabery cheek Cheek.

Anggaran untuk membiayai kos siaran langsung itu terkandung dalam jawapan bertulis Ahmad Shabery kepada soalan Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera).

Selain RM3 juta tersebut, kerajaan juga perlu membelanjakan RM9 juta untuk membayar perkhidmatan syarikat komunikasi - Telekom.

Ahmad Shabery bagaimanapun tidak mendedahkan kos siaran langsung sekarang - selama 30 minit - yang disiarkan oleh RTM.

Sebelum ini, kementerian berkenaan, dalam satu kenyataannya, berkata RTM membelanjakan RM1 juta untuk menempatkan tiga buah kamera di dewan parlimen untuk siaran langsung.

Jumaat lalu, kabinet memutuskan untuk meneruskan siaran 30 minit pertama sesi soal-jawab setiap hari walaupun berlaku kekecohan pada hari pertama siaran langsung itu Rabu lalu.

Ekoran itu, banyak pihak yang menggesa supaya siaran langsung itu dihentikan. Kabinet bagaimanapun berkata ia akan menimbangnya jika berlaku lagi kekecohan seumpama itu.

Hari ini adalah kali sesi parlimen disiar secara langsung. Khamis lalu adalah cuti awam dan parlimen tidak bersidang pada hari Jumaat.

Ketika ditemui pemberita di lobi parlimen Ahmad Shabery berkata, kementeriannya akan menimbang memanjangkan tempoh siaran langsung itu ekoran sesi pagi ini berjalan lancar.

Cuba berlaku pertelingkahan kecil antara ahli parlimen pembangkang dengan Spekar Datuk Pandikar Amin Mulia di permulaan sesi.

Bantu PIBG

Sementara itu, Bernama melaporkan, Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyarankan pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjalankan tanggungjawab sosial mereka bagi membiayai program sekolah dan mengisi tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Katanya, kerjasama rapat di antara pihak swasta dan sekolah dilihat dapat memperkasakan lagi pendidikan negara.

azmin ali"Penglibatan agensi swasta ini sememangnya saya terbuka dan mengalu- alukan, cuma sasaran bantuan itu perlu diberi kepada sekolah yang betul-betul memerlukan," katanya kepada Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak).

Sebelum itu, ketika menjawab soalan Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran) mengenai langkah kerajaan membantu sekolah dan PIBG, Hishammuddin berkata, pemansuhan yuran khas bagi murid sekolah tahun ini dan yuran peperiksaan mulai tahun lalu tidak langsung menjejaskan peranan PIBG dalam mencari sumber kewangan.

"Bayaran tambahan ini (PIBG) bukanlah yuran khas yang dikenakan kerajaan malahan tidak wajib dibayar oleh pelajar, ia merupakan sumbangan oleh PIBG kepada sekolah yang dibincangkan dan dipersetujui oleh kedua pihak," katanya.

Beliau berkata kementerian juga sedang merangka pelbagai alternatif untuk menambah dana tabung kewangan PIBG seperti mempertimbangkan bantuan kerajaan kepada PIBG mengikut Kadar Bantuan Per Kapita (PCG).

Kesesakan lalulintas


mohd zin bin mohamed 02Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Mohd Zin Mohamed pula berkata kementeriannya akan memberi pertimbangan utama untuk menaik taraf Jalan Bentong ke Gua Musang bagi menyelesaikan isu kesesakan lalulintas di laluan itu terutama pada musim perayaan.

Katanya, langkah itu penting kerana pada masa ini jalan berkenaan merupakan laluan perhubungan utama antara Pantai Barat ke Pantai Timur.

Kementerian Kerja Raya juga, katanya, akan memastikan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Kedua (LPT2) yang sedang dilaksanakan, dapat diselesaikan mengikut jadual.

"Saya kira jika LPT2 ini dapat diselesaikan, kita boleh legakan kesesakan ini," katanya semasa menjawab soalan Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian).

Ketika menjawab soalan Datuk Juslie Ajirol (BN-Libaran) pula, Mohd Zin berkata kaedah perolehan berdasarkan reka dan bina masih diteruskan bagi memastikan kelancaran sesuatu projek.

Bagaimanapun katanya kelulusan perolehan reka dan bina itu masih tertakluk kepada Kementerian Kewangan sebagai agensi pusat yang meluluskan kaedah perolehan bagi projek-projek kerajaan.

nor mohamed yakcopMenteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pula memberitahu dewan, projek perumahan yang terbengkalai boleh diatasi dengan menggunakan konsep di mana pemaju membina rumah dahulu dan
kemudian dijual kepada pembeli.

“Kerajaan telahpun memikirkan satu alternatif untuk membeli rumah selepas rumah sudah siap dan dengan menggunakan kaedah ini, isu tentang rumah terbengkalai, projek terbengkalai tidak akan wujud,” katanya.

Beliau juga berkata bahawa kaedah “siap dan jual” masih baru di negara ini jika dibandingkan dengan negara-negara lain.

Nor Mohamed menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) yang bertanyakan mengenai rancangan kerajaan untuk menyelamatkan projek seperti Plaza Rakyat dan Nas Pavilion yang masih terbengkalai sejak 12 tahun yang lalu sehingga ramai pembeli berhadapan masalah kewangan dan terpaksa membayar balik wang kepada bank dan institusi kewangan.

Nor Mohamed juga menjelaskan bahawa dua buah projek ini akan diselesaikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Projek terbengkalai

Sementara itu, beliau berkata kerajaan telah pun mengambil beberapa langkah untuk memastikan projek terbengkalai tidak akan berulang.

Katanya Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNM) telah diwujudkan untuk membantu dalam isu projek terbengkalai dan setakat ini SPNB telah membantu menyelesaikan 9,208 unit rumah terbengkalai.

Nor Mohamed berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga telah memperkenalkan satu kaedah yang membolehkan semua permohonan untuk pemaju tanah bagi projek perumahan dapat diberi kelulusan dengan segera dalam tempoh tidak sampai enam bulan.

nasharuddin mat isa 02Menjawab soalan Nasharudfdin Mat Isa (PAS-Bachok) yang ingin mengetahui mengenai manfaat yang boleh diperolehi rakyat melalui Tabung Projek Perumahan Terbengkalai (TPPT) yang ditubuhkan pada tahun 1990, beliau berkata TPPT telah berjaya membantu memulihkan 74 projek perumahan terbengkalai di seluruh negara.

Keseluruhan projek perumahan yang berjaya dipulihkan melibatkan pinjaman TPPT berjumlah RM356.2 juta yang diberikan kepada pemaju, melibatkan 17,730 unit rumah (iaitu 32 peratus atau 5,717 unit ialah rumah kos rendah).

TPPT yang telah ditubuhkan untuk menyediakan bantuan kewangan kepada pemaju untuk membangunkan semula projek perumahan yang terbengkalai, telah pun ditutup kepada permohonan baru sejak tahun 1992.

shafie apdalSementara itu, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Shafei Apdal menolak tanggapan kononnya kerajaan menganggap Sabah dan Sarawak sebagai 'anak angkat' dan menyifatkan sentimen itu sebagai persepsi semata-mata.

"Sentimen Sabah dan Sarawak umpama 'anak angkat' adalah tidak benar kerana kerajaan sentiasa prihatin dan memberi perhatian akan soal pembangunan dan kebajikan yang melibatkan kedua-dua negeri itu," katanya ketika menjawab soalan Norah Tun Abdul Rahman (BN-Tanjong Manis).

Norah meminta penjelasan mengenai langkah yang bakal dan akan diambil untuk mengukuhkan lagi integrasi rakyat Malaysia dan sentimen 'anak angkat' yang dirasai oleh masyarakat di kedua-dua negeri itu.

Shafei menegaskan bahawa penekanan dalam aspek pembangunan dan kebajikan di Sabah dan Sarawak diberi perhatian khusus dan ia dapat dilihat dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Di bawah RMK-9, Sabah merupakan antara negeri penerima tertinggi peruntukan iaitu sebanyak RM15.7 bilion atau 7.8 peratus berbanding RM13.2 bilion dalam tempoh RMk-8, manakala Sarawak pula menerima RM13.4 billion atau 6.7 peratus berbanding RM12.8 bilion yang diperuntukkan dalam RMK-8 bagi membiayai projek pembangunan, katanya.

20 Perkara Sabah, Sarawak

Menjawab soalan tambahan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) yang bertanyakan sama ada kerajaan akan menyemak semula Perjanjian 20 Perkara bagi Sabah dan Sarawak bagi memastikan integrasi nasional lebih bermakna, Shafei berkata perkara itu tidak perlu.

Ini kerana sebahagian besar perkara yang telah dipersetujui dalam perjanjian itu tidak membawa masalah besar kepada rakyat Malaysia dan apa yang lebih penting sekarang ialah kesungguhan kerajaan untuk memastikan adanya pembangunan dan kemajuan di kedua-dua negeri itu sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat.

muhyiddin yasin 02Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula memberitahu dewan kerajaan pusat tidak akan mendiskriminasikan mana-mana kerajaan negeri dalam usaha untuk menarik lebih ramai para pelabur asing.

Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan pusat akan terus menyediakan insentif sama ada yang baru atau yang lama kepada semua pelabur asing di negara ini, termasuk di kelima-lima negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Kedah, Selangor dan Kelantan, yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

“Kerajaan memang menggalakkan kemasukan pelaburan asing ke semua negeri dan akan sentiasa memastikan hasil pelaburan dinikmati oleh semua rakyat," katanya ketika menjawab soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) yang ingin tahu sama ada pihak kementerian akan terus bekerjasama dengan lima kerajaan negeri yang ditadbir DAP-PKR-PAS untuk menarik pelaburan asing dan terus memberi insentif kepada pelabur asing di negeri-negeri tersebut.

Muhyiddin berkata Kerajaan Pusat berharap kerajaan negeri di kelima-lima negeri tersebut akan meneruskan dasar sedia ada dan memastikan yang dasar itu mestilah berlandaskan mesra perniagaan.

Beliau juga menjawab soalan tambahan kedua daripada Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat), yang bertanyakan sama ada faktor kekurangan pelaburan asing di negeri Kelantan disebabkan oleh kerana kedudukan negeri itu yang tidak strategik.

Muhyiddin bersetuju bahawa kekurangan pelaburan asing di negeri Kelantan adalah disebabkan oleh kedudukan negeri itu yang jauh dan kemudahan prasarana yang tidak lengkap terutama di sebelah barat negeri itu.

DEB mesti diganti

dr wan azizahSementara itu, Ketua Pembangkang Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) berkata, setelah diamalkan hampir 40 tahun, Dasar Ekonomi Baru (DEB) mesti diubah dan digantikan dengan yang lebih wajar dan bermakna kepada bumiputera dan rakyat Malaysia yang lain.

"Yang perlu dihiraukan adalah nasib majoriti bumiputera, Melayu di desa, Kadazan, Murut, Iban dan Bidayuh dan lain-lain di pedalaman dan pesisiran pantai," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

Wan Azizah juga meminta kerajaan mengkaji semula kaedah penswastaan perkhidmatan kesihatan, kerana menurutnya, rakyat tidak lagi berupaya menanggung kos pemeriksaan dan perubatan yang semakin meningkat.

"Apatah lagi sekiranya rawatan memerlukan penggunaan pelbagai peralatan maka kosnya tidak tertanggung oleh rakyat. Ramai terlantar di rumah dan tidak berupaya menanggung kosnya," katanya.

Mengenai krisis makanan, Dr Wan Azizah meminta kerajaan menjadikan pengeluaran padi dan beras mencukupi sebagai agenda penting, seperti di Jepun, yang menjadikannya sebagai agenda pertahanan negara.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.