Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tengku Razaleigh Hamzah merancang ke Sabah dan Pahang pula untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin dan ahli akar Umno seluruh negara dalam rangka meraih sokongan untuk pemilihan presiden parti Disember nanti.

Bagaimanapun, tarikh program di dua negeri itu belum diputuskan lagi.

Malaysiakini difahamkan paling awal, program di Sabah akan diadakan minggu depan.

"Ku Li akan ke sana untuk memenuhi jemputan untuk beramah mesra dengan ahli-ahli Umno akar umbi seperti majlis yang dihadiri beliau di Batu Pahat dan Muar, baru-baru ini," kata satu sumber yang dekat dengan ahli parlimen Gua Musang itu.

Beberapa ratus orang, termasuk ahli jawatankuasa empat bahagian Umno di Johor, menghadiri majlis yang diadakan awal bulan ini.

Mengulas lanjut mengenai majlis bekas naib presiden Umno itu di Sungai Petani dan Alor Setar semalam, sumber itu berkata, sambutannya sungguh menggalakkan.

"Sambutan di Kedah cukup hangat. Di Alor Star lebih kurang 1,200 orang hadir di majlis ramah mesra dengan beliau dan majlis di Sungai Petani pula dihadiri lebih kurang 800 orang," kata sumber.

Bekas presiden Parti Melayu Semangat 46 itu telah mengadakan majlis penerangan di Subang Jaya, Selangor.

Sementara itu, Kelab Peminat Tengku Razaleigh (KPTR) turut terlibat menjaya pertemuan Ku Li di negeri tersebut.

"Lebih kurang 300 borang keahlian sudah kita dapat (di Kedah)," kata Ahmad Fahmi Muhamad Amin kepada Malaysiakini .

Katanya, kelab ini sedang mengumpul maklumat yang berkaitan dengan Tengku Razaleigh termasuk termasuk ucapan dan rakaman video berkaitan dengan bekas menteri kewangan tersebut.

"Kita sedang kumpul maklumat berkenaan ucapan dan rakaman video mengenai beliau termasuk ucapan beliau dalam politik dan dunia korporat dan akan dimasukkan ke dalam lamanweb Tengku," jelas Fahmi, seorang penggerak kelab tersebut.

Menurutnya lagi, lamanweb itu yang sedang dibangunkan sebagai satu usaha mempromosikan Tengku Razaleigh dan kebolehan beliau untuk memimpin negara.

ADS