Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Usul minyak: BN 129, Pakatan 78
Diterbitkan:  Jun 23, 2008 11:49 AM
Dikemaskini: 4:52 PM

kemaskini 10:48pm Kerajaan berjaya mengatasi debaran "undi tidak percaya" terhadap perdana menteri yang diura-urakan akan dibawa pembangkang ketika membahaskan usul menyokong kenaikan harga minyak susulan pemotongan subsidi awal bulan ini.

Selepas sesi perbahasan selama enam jam, undi yang dijalankan selepas jam 7 malam membuktikan barisan wakil rakyat BN masih setia kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan 129 undi, manakala 78 undi menentang usul yang dibawa menteri perdagangan dalam negeri dan hal-ehwal pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad.

BN mempunyai 140 ahli Dewan Rakyat, termasuk dua timbalan yang dipertua, sementara pembangkang mempunyai 82 wakil.

Seramai 11 ahli parlimen BN tidak hadir dalam sesi yang dianggap penting ini. Mereka termasuklah dua wakil BN daripada Parti Maju Sabah (SAPP) - Chua Soon Bui (Tawau) dan Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) - yang menggemparkan negara minggu lepas dengan mencadangkan usul undi tidak percaya terhadap Abdullah.

Wakil-wakil lain: Raime Unggi (Umno-Tenom), James Dawos Mamit (PBB-Mambong), Tiong Thai King (Supp-Lanang), Zulhasnan Rafique (Umno-Setiawangsa), Ahmad Zahid Hamidi (Umno-Bagan Datoh), Dr Rais Yatim (Umno-Jelebu), Rafidah Aziz (Umno-Kuala Kangsar), Radzi Sheikh Ahmad (Umno-Kangar) dan Tengku Azlan Abu Bakar (Umno-Jerantut),

Di pihak pembangkang pula, mereka yang tidak hadir: Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai), Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) dan Chow Kon Yeow (DAP-Tanjong). Ahli parlimen keempat yang tidak hadir tidak dapat dipastikan, setakat ini.

Ditemui di luar dewan selepas sidang berakhir, menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Nazri Abdul Aziz berkata kejayaan BN kerana wakil-wakil mereka kekal bersatu.

Sementara naib presiden PKR dan wakil Gombak, Azmin Ali, sesi perbahasan dan pengundian itu "kejayaan besar" bagi partinya, DAP dan PAS.

Usul tersebut dibawa Shahrir Samad bermula kira-kira 11.45 pagi, sebaik selesai sesi soal jawab.

ADS