Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BPR akan siasat aduan polis Anwar
Diterbitkan:  Jul 2, 2008 7:05 PM
Dikemaskini: 1:52 PM

Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan segera menyiasat laporan polis yang dibuat ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan ketua polis negara dan peguam negara memalsukan bukti kes mata lebamnya 10 tahun lalu.

Ketua pengarah BPR Datuk Seri Ahmad Said Hamdan hari ini berkata, siasatan itu akan diketuai oleh pengarah siasatannya Datuk Mohd Shukri Abdull.

"Keterangan mengenai laporan itu telah diserahkan kepada kami dan untuk memastikan ia tidak berat sebelah, siasatan akan dilakukan oleh BPR.

"Kami boleh siasat, tak ada masalah," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Ahmad Said menyatakan demikian ketika diminta mengulas laporan yang dibuat oleh Anwar semalam terhadap Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Ghani Patail di ibu pejabat polis kontinjen Selangor di Shah Alam, demikian menurut laporan Bernama .

Anwar mendakwa, Musa dan Abdul Gani menyembunyikan fakta dan memalsukan maklumat dalam kes membabitkan serangan fizikal terhadapnya oleh Tan Sri Rahim Noor, waktu itu ketua polis negara, pada 20 September 1998.

Abdul Gani pada ketika itu timbalan pendakwaraya paling kanan, manakala Musa pula ketua pegawai penyiasat kes yang membabitkan Anwar.

Menurut Ahmad Said, proses siasatan akan dilakukan dengan memanggil semua pihak terlibat untuk merekodkan keterangan masing-masing.

"Kita akan panggil siapa sahaja yang terlibat, termasuk Anwar sendiri," katanya.

Komen Musa

Sementara itu, di Kuala Lumpur, Musa berkata polis akan tetap menyiasat laporan yang membabitkan nama beliau seperti dibuat oleh Anwar semalam.

"Saya tidak mahu komen atau beritahu apa-apa mengenai perkara itu. Biar siasatan dijalankan berkaitan tuduhan Anwar Ibrahim," katanya kepada pemberita hari ini.

Ketika ditanya sama ada beliau akan membuat laporan polis berhubung tuduhan Anwar terhadapnya, Musa berkata:

"Untuk apa? Biarlah BPR (Badan Pencegah Rasuah) siasat."

Musa juga enggan mengulas ketika ditanya mengenai dakwaan keluarga Mohd Saiful Bukhari Azlan, pemuda yang membuat laporan polis mendakwa diliwat oleh Anwar, kononnya mereka diarah tidak menghubungi beliau (Musa) berkaitan laporan itu.

Sabtu lalu, Mohd Saiful membuat laporan mendakwa diperlakukan begitu oleh tokoh pembangkang itu di sebuah kondominium di Desa Damansara.

ADS