Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau terharu kerana Perdana Menteri memberi keyakinan kepada beliau menjadi pengganti.

najib tun razak 01 "Saya amat terharu (dengan) kerelaan perdana menteri melepaskan jawatan mengikut jadual, bukan satu perkara yang mudah untuk melepaskan jawatan perdana menteri dan presiden Umno.

"Tetapi demi menghargai pandangan, Yang Amat Berhormat (YAB) sanggup berbuat demikian.

"Soal peralihan kepimpinan boleh dibuat dengan cara baik tanpa membelakangkan tradisi dalam Umno," katanya dalam sidang akhbar yang sama selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan beliau akan menyerah kuasa kepada Najib pada Jun atau pertengahan 2010.

Beliau membuat pengumuman tersebut selepas pertemuan dengan ketua-ketua bahagian Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Sebelum itu, beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno lebih dua jam mulai jam 3 petang tadi.

Perdana menteri berkata, keputusan tersebut diterima oleh MT dan pemimpin-pemimpin parti itu.

Mengulas lanjut, Najib berkata: "Dalam tempoh peralihan ini, YAB akan tetap menjalankan pembahagian kuasa yang tertentu.

"Saya tetap anggap YAB sebagai ketua saya. Saya rayu kepada pemimpin dan ahli parti supaya pencalonan Pak Lah sebagai presiden diterima.

"Hubungan saya dengan YAB amat akrab. Saya berharap diteruskan sehingga PM menyerahkan kuasa, dan selepas beliau tidak lagi menjadi PM, agar terus berkekalan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS