Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Seorang lagi pegawai kanan Imigresen ditahan
Diterbitkan:  Jul 12, 2008 12:25 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Badan Pencegah Rasuah (BPR) menahan seorang lagi pegawai kanan Imigresen bagi membantu siasatan kes rasuah mempercepatkan pengeluaran visa pekerja asing.

Pegawai berkenaan ditahan di rumahnya, awal pagi ini, demikian menurut laporan Utusan Online.

Pegawai kanan itu dibawa ke Mahkamah Majistret Klang pagi ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Semalam, BPR menahan reman tujuh orang termasuk Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Mohd. Don, 55, bagi kesalahan yang sama.

Kesemua mereka kini ditahan reman antara empat hingga lima hari untuk membantu siasatan.

Kes tersebut terbongkar berikutan aduan yang diterima BPR pada awal bulan ini yang mendakwa seorang ejen meminta bayaran RM350 daripada setiap pekerja asing untuk diberikan kepada pegawai kanan di Jabatan Imigresen.

Ditahan reman

Sementara itu, Bernama melaporkan seorang lagi pegawai kanan Jabatan Imigresen ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima asuah bagi mempercepatkan kelulusan visa kepada buruh asing.

Majistret Zarifah Zainal Abidin membenarkan permohonan itu apabila pegawai lelaki berusia 54 tahun itu dibawa ke mahkamah pada jam 11.45 pagi ini.

Zarifah turut membenarkan permohonan tahanan reman bagi tempoh yang sama terhadap abang ipar pegawai kanan itu yang berumur 59 tahun kerana disyaki menjadi orang tengah dalam kes itu yang berlaku di Selangor.

Bernama difahamkan abang iparnya ditahan di Negeri Sembilan.

ADS