Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Pemuda PAS menyifatkan pandangan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam wawancara minggu lepas sebagai isyarat kritikan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua lagi parti dalam Pakatan Rakyat "agar tidak menimbulkan masalah" kepada PAS.

"Kita bersetuju dengan kenyataan presiden PAS dan ia juga sebagai satu isyarat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga PKR dan DAP agar tidak sekadar meraih populariti bukan Islam yang akhirnya akan merugikan orang Islam itu sendiri.

"Jangan buat sesuatu yang yang menimbulkan masalah kepada PAS (sebagai parti Pakatan Rakyat) dari luar dan dalam," kata satu sumber yang dekat dengan Dewan Pemuda.

Kata sumber, insiden-insiden yang boleh meresahkan PAS termasuklah keengganan wakil rakyat DAP memakai songkok dalam persidangan Dewan Undangan negeri Johor dan perbincangan berhubung soal kebebasan dan hak istimewa orang Melayu dan Dasar Ekonomi Baru.

"Jangan tumpu sangat (pada isu-isu itu), nanti orang Melayu marah," kata sumber.

Menurutnya, beliau tidak mahu hubungan PAS dan Pakatan Rakyat menjadi renggang.

Sumber itu menambah, berharap agar Pakatan Rakyat sama-sama menghormati antara satu dengan lain berhubung dasar masing-masing.

"Dalam soal Melayu dan Islam, kita (PAS) tidak kompromi. Kita bela habis-habisan," jelasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau bimbang dengan perkembangan dalam parti PAS sendiri kerana mulai wujud suara-suara memprotes bentuk kerjasama dalam Pakatan, misalnya isu konsert Mas Idayu dan Ella dan kontroversi kumpulan punck rock Carburetor Dung di stadium Kelana Jaya, minggu lalu.

"Ahli-ahli PAS melihat PAS tidak tegas dalam soal Melayu Islam. Kalau PAS tak tegas, orang lain tambah lagi," kata sumber tersebut.

Beliau berkata demikian setelah melihat adanya suara-suara kelompok yang dianggap beraliran konservatif yang mencari alasan untuk mendapat ruang dan menguasai parti daripada perkembangan terbaru dalam pembangkang.

Katanya, penguasaan kelompok ini akan menyukarkan kelompok yang digelar " pro-engagement " terutama sekali dalam Dewan Pemuda yang dilihat lebih terbuka.

"Kita tidak mahu kelompok konservatif (sebahagiannya dalam Dewan Ulama) mendapat balik sokongan ahli-ahli PAS," tambah sumber itu lagi.

Menurutnya, beliau difahamkan ada ura-ura untuk memperkasakan Dewan Ulama dan ia akan dibincangkan dalam muktamar PAS bulan depan.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS juga menafikan adanya perundingan antara parti dengan Umno bagi menyertai BN demi membela dan mengukuhkan orang Melayu.

Ketegasan dewan tersebut, yang diketuai Salahuddin Ayub, dinyatakan dalam mesyuarat mereka pada Sabtu lalu.

Menurut sumber, Pemuda PAS tetap komited dengan pendirian berada dalam Pakatan Rakyat dan menentang sebarang usaha pimpinan PAS untuk bergabung dengan Umno.

"Kita berasal kesal dengan rakan-rakan dalam PKR yang menganggap PAS tidak boleh dipercayai. Kita sudah lama bertanding dan tidak semudah itu untuk kita bekerjasama dengan Umno," kata sumber.

Katanya barisan anggota exco dewan itu sepakat menolak bekerjasama dengan Umno.

"Ahli PAS tidak dapat menerima jika PAS bekerjasama dengan Umno," kata sumber.

ADS