Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khairy: Jika berani, beri DNA Anwar
Diterbitkan:  Jul 16, 2008 2:42 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat apabila meminta penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan sampel DNA berhubung siasatan tuduhan liwat terhadapnya.

"Kita tidak boleh memaksa mana-mana pihak untuk memberi sampel DNA (tapi) kalau tidak takut pada kebenaran, saya harap Anwar akan tampil hari ini, dan kalau berani, beri sampel DNA untuk diuji sama ada laporan polis itu betul atau tidak. Ini penting," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2008).

Kata-kata naib ketua Pemuda Umno itu menyebabkan beberapa anggota parlimen Pakatan Rakyat termasuk Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail (PKR-Permatang Pauh), isteri Anwar, bangun dan mempertikaikan kenyataan itu.

Wan Azizah yang juga presiden PKR berkata: "Kenapa Rembau (Khairy) hendak minta DNA dari suami saya.

"Laporan polis yang dibuat tidak diberi kepada kami, bagaimana Rembau boleh tahu, apakah Rembau tahu kandungan dari laporan polis itu."

Laporan terhadap Anwar itu dibuat oleh bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Menurut laporan Bernama , Khairy kemudian menjelaskan bahawa beliau tidak tahu-menahu mengenai siasatan polis berhubung kes itu, tetapi katanya, sampel DNA amat diperlukan sebagai bukti.

"Laporan polis tidak diberi kepada ketua pembangkang (Wan Azizah) sebab suaminya tidak hadir ke balai polis. Saya tidak tahu-menahu tentang siasatan ini, yang tergerak hati saya (untuk) minta DNA adalah bentuk laporan polis tersebut.

"Ini adalah tuduhan liwat dan salah satu bukti yang diperlukan adalah bukti DNA," beliau dipetik sebagai berkata.

Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), yang juga naib presiden PKR, kemudian bangun dan mencadangkan agar diadakan jawatankuasa khas tindakan.

Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) pula menggunakan Peraturan Mesyuarat 36 (12) meminta Khairy menetapkan pendirian bahawa laporan polis tidak diberikan kerana Anwar masih tidak memberikan kenyataannya kepada polis.

"Rembau kata bahawa oleh kerana Anwar belum beri kenyataan, sebab itu dia tidak diberi laporan, adakah Rembau tetap menyatakan bahawa itu sebenarnya alasan Anwar tidak beri kenyataan, oleh itu polis tidak beri laporan," katanya, lapor agensi berita lagi.

Situasi itu menimbulkan pertikaman lidah antara penyokong kerajaan dan pembangkang sehingga memaksa timbalan yang dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menenangkan keadaan.

"Kalau itu pendirian Rembau, itu dia punya pasal, yang buat penyiasatan adalah polis, takkan polis nak dengar arahan Rembau dalam dewan ini," kata Wan Junaidi.

Perbahasan Khairy sekali lagi menjadi kecoh dan hangat apabila beliau berkata janji Anwar untuk menurunkan harga minyak sebanyak 50 sen jika memerintah negara adalah satu pembohongan dan putar belit.

Khairy berkata ini bertentangan dengan janji parti itu ketika pilihan raya umum lepas yang mengatakan akan menurunkan harga minyak kurang daripada RM1.92.

"Tapi semalam (pada debat Anwar dengan menteri penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek) pembohongan terdedah bahawa beliau hanya mampu janji turunkan 50 sen dari RM2.70 kepada RM2.20 yang mana masih lagi tinggi daripada RM1.92 seperti yang dijanjikan pada pilihan raya," katanya.

Kenyataan Khairy itu kemudian dijawab oleh Mohamed Azmin yang mengatakan bahawa apa yang disebut Anwar itu adalah langkah awal dengan mengambil kira keadaan ekonomi sekarang.

"Dalam keadaan ekonomi hari ini, mana mungkin kita hendak turun secara mendadak, ini peringkat awal dan sekiranya suasana mengizinkan kita akan turunkan lebih rendah supaya rakyat dapat manfaat," katanya.

ADS