Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Patutkah PAS terus menganggotai Pakatan?
Diterbitkan:  Jul 27, 2008 8:33 PM
Dikemaskini: Jul 28, 2008 4:52 AM

Pakatan Rakyat patut menimbang secara serius sama ada PAS patut dibenarkan terus menganggotai pakatan pembangkang itu, kata Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Beliau mempertikaikan beberapa tindakan pemimpin PAS yang menurutnya telah menimbulkan keraguan terhadap kewibawaan parti itu.

"Selepas pilihanraya umum pada 8 Mac lalu, PAS telah mengadakan perbincangan dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan campuran di Selangor," katanya yang menyifatkan tindakan itu berniat jahat kerana DAP dan PKR tidak dimaklumkan mengenainya.

Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh DAP, PKR dan PAS, memerintah di lima negeri - Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Tambahnya, PAS turut mengadakan satu lagi pusingan rundingan dengan Umno "atas nama perpaduan Melayu".

"langkah bersifat perkauman oleh PAS itu sebagai tidak sejajar dengan dasar DAP dan Pakatan Rakyat," katanya.

Karpal turut menyentuh cadangan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam agar Umno dan PAS dibubarkan dan sebuah parti baru ditubuhkan bagi menyatukan semua orang Melayu.

"Pendedahan ini sungguh memeranjatkan dan memberi kesan dan implikasi yang serius," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan Nasharuddin

Karpal yang juga merupakan peguambela Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat terhadapnya 10 tahun lalu, juga kecewa dengan pemimpin PAS, Nasharuddin Mat Isa berhubung tuduhan terbaru ke atas mantan timbalan perdana menteri itu.

Menurut Nasharuddin orang Melayu sudah mula mempercayai tuduhan liwat yang dihadapi Anwar Ibrahim.

"Kenapa Nasharudin buat kenyataan seperti itu? Dengan berbuat demikian, beliau membabitkan PAS secara menyeluruh memandangkan kedudukannya sebagai setiausaha agung (nasharuddin adalah timbalan presiden).

"Kenyataan Nasharudin itu bukan saja bersifat menghina dan tidak tepat, malah berupa satu serangan terbuka terhadap Anwar Ibrahim yang sedang bergelut berdepan dengan usaha untuk merosakkan kredibiliti beliau melalui dakwaan meliwat," katanya.

Karpal berkata, rakyat Malaysia telah memberi isyarat yang jelas apabila mereka tidak mengundi mengikut kaum dalam pilihanraya umum Mac lalu.

Katanya, PAS sebaliknya memilih untuk berusaha bagi menyatupadukan semua orang Melayu dan bukannya berusaha bagi menyatupadukan semua rakyat Malaysia.

"PAS tidak patut dan tidak boleh dibiarkan berlari bersama arnab dan memburu bersama anjing pemburu bagi mengelaknya daripada dibaham anjing berkenaan," kata Karpal.

ADS