Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umno cawangan Kampung Tua dalam bahagian Langkawi tidak dapat memaafkan presiden parti itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana kekalahan teruk Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum lalu.

Lantaran itu, cawangan tersebut mengusulkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bertanding jawatan presiden dalam pemilihan Umno Disember ini.

Dalam mesyuaratnya pada 26 Julai lalu, cawangan tersebut turut mengusulkan Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanding jawatan timbalan presiden.

"Datuk Seri Abdullah perlu bertanggungjawab terhadap kekalahan tersebut...beliau perlu mengundurkan diri," kata ketua cawangan tersebut, Mansor Hashim.

"Kita mahu orang lain dan pada pandangan ahli-ahli cawangan, orang yang paling layak menjadi presiden parti ialah Najib dan timbalannya pula ialah Muhyiddin," katanya.

Najib dan Muhyiddin masing-masing merupakan timbalan presiden dan naib presiden Umno.

Keputusan tersebut, kata Mansor, dibuat oleh semua 41 ahli Umno cawangan Kampung Tua yang hadir dalam mesyuarat agungnya pada 26 Julai lalu.

"Tiada seorang pun yang membantah usul tersebut," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Sebelum ini, dua cawangan Umno di Pahang - Bukit Kuantan 3 (bahagian Paya Besar) dan Kampung Ubai (bahagian Pekan) mahu Najib bertanding jawatan presiden dalam pemilihan Umno Disember depan.

Sehingga ini, kata Mansor, 13 cawangan daripada 91 cawangan dalam bahagian Langkawi telah mengadakan mesyuarat masing-masing.

Beliau mendakwa, ada beberapa cawangan lagi yang akan mengusulkan Najib untuk jawatan presiden dan Muhyiddin sebagai timbalan.

Bagaimanapun, katanya, sebahagian mereka tidak berani berbuat demikian kerana sebab-sebab tertentu.

Sementara itu, ketua bahagian sekarang, Datuk Abu Bakar Taib dijangka ditentang oleh timbalannya, Datuk Nawawi Ahmad dalam pemilihan ketua bahagian September ini.

Ahli jawatankuasa (AJK) bahagian, Mohd Amin Bahari memberitahu, sehingga ini Abu Bakar mendapat empat pencalonan, manakala Nawawi sembilan.

Abu Bakar merupakan ahli Parlimen Langkawi manakala Nawawi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuah.

Abu Bakar juga sudah empat penggal menjadi ketua bahagian Langkawi, manakala Nawawi tiga penggal sebagai timbalan ketua bahagian.

ADS