Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar bertanding biar dari lokap
Diterbitkan:  Aug 4, 2008 11:55 AM
Dikemaskini: 4:48 AM

Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas akan meneruskan pertandingan pada pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh walaupun beliau berada ditangkap polis.

Beliau berkata, dalam apa keadaan sekalipun hasratnya untuk bertanding itu tidak pernah luntur bagi mencapai matlamat Pakatan Rakyat menawan Putrajaya, lapor Bernama .

"Saya tidak tahu sama ada saya akan dibenarkan berkempen atau tidak selepas ini.

"Sama ada saya masuk lokap atau tidak, saya tetap akan bertanding di Permatang Pauh," katanya pada ceramah perdana PKR di Tapak Ekspo Seberang Jaya malam tadi.

Tambahnya, bagi mencapai matlamat menyelamatkan ekonomi negara, Pakatan Rakyat perlu cepat bertindak memandangkan keadaan semakin buruk.

Sebab itu beliau memilih untuk bertanding di Permatang Pauh kerana beberapa kerusi Parlimen lain seperti Kulim-Bandar Baharu masih dalam proses menunggu keputusan mahkamah, tambahnya.

Anwar berkata, tidak timbul soal isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengkhianati pengundi di kerusi parlimen itu dengan meletakkan jawatannya kerana sejak awal lagi beliau telah menjelaskan akan memberi laluan kepada suaminya sejurus sahaja beliau layak bertanding.

Selain Anwar dan Dr Wan Azizah, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat, antaranya naib presiden PAS Datuk Husam Musa dan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng turut berucap pada majlis itu.

Menurut agensi berita itu lagi, majlis ceramah itu pembuka tirai kempen PKR menjelang pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh.

Rabu ini, Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) akan menetapkan tempoh berkempen dan mengundi bagi kawasan itu.

ADS