Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Rakyat marah MRR2 retak lagi
Diterbitkan:  Aug 4, 2008 12:04 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Keretakan terbaru di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menyebabkan rakyat marah akibat pembaikian dulu tidak dijalankan dengan sempurna, kata perdana menteri.

"Dulu ketika rosak, kita telah mengeluarkan belanja RM70 juta dan ini adalah satu perbelanjaan yang besar. Dan sekarang ini retak lagi, mengikut apa yang dimaklumkan oleh pengguna jalan raya.

"Inilah cerita-cerita yang membuatkan rakyat tidak senang hati, bahkan marah.

"Sebenarnya masalah ini boleh dielakkan jika sekiranya pihak yang bertanggungjawab berhati-hati dalam memastikan apa yang telah dibaiki itu sudah teguh dan tidak akan berlaku lagi sebarang keretakan atau kerosakan dalam masa yang singkat," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini.

Menurut laporan Bernama lagi, jika semuanya dibuat dengan baik, sudah tentu rakyat tidak akan berasa marah dan laluan tersebut boleh digunakan dengan selamat dan tidak menakutkan.

mrr2 elevated highway 170206 02 "Menakutkan jika berlaku runtuhan atau kemalangan lagi, jadi, sudah tentulah ini tidak baik," beliau dipetik sebagai berkata ketika mengulas mengenai MRR2 yang dibina dengan kos RM238 juta dan telah dibaikpulih menggunakan belanja tambahan RM70 juta mengalami keretakan sekali lagi.

Semalam, lebuhraya jejambat itu yang menghubungkan antara Kepong dan Selayang ke Kuala Lumpur sepanjang 1.7 kilometer serta jalan di bawahnya ditutup kepada semua lalulintas berikutan keretakan baru itu.

Arahan dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas beberapa pemandu melaporkan mereka ternampak batu-batu jatuh dari salah satu rasuk jejambat itu dekat stesen Komuter Kepong.

Pada bulan Ogos 2004, laluan berkenaan ditutup buat pertama kali berikutan masalah keretakan rasuk tiangnya.

Pada Februari 2006, ia sekali lagi ditutup akibat masalah yang sama yang memerlukan struktur itu dibaik pulih dengan kos RM70 juta.

ADS