500 bantah forum 'memeluk Islam'

       

Seramai 500 orang sedang berkumpul di depan bangunan Majlis Peguam sejak awal pagi kerana membantah penganjuran forum awam memeluk Islam anjuran majlis tersebut.

Pada masa yang sama kelihatan kira-kira 80 anggota polis ditempat di situ bagi mengawal orang ramai. Manakala kenderaan polis turut diletakkan di hadapan bangunan tersebut.

convertion forum protest 090807 big crowd Ketika berucap kepada orang ramai, Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang cenderung pada Umno, Jais Abdul Karim berkata, mereka membantah penganjuran forum tersebut kerana ia mencabar hak istimewa orang Melayu dan agama Islam.

Sepatutnya, kata beliau, forum itu diadakan secara tertutup.

Katanya, ia kerana terbukti program anjuran Majlis Peguam sebelum ini, gagal menghalang peserta daripada mempertikaikan hak orang istimewa orang Melayu dan agama Islam.

Mereka yang menyertai perhimpunan pagi ini adalah terdiri daripada wakil-wakil 29 badan NGO Islam.

Pakatan Rakyat

convertion forum protest 090807 mini posters Mereka melaungkan "Hancur Bar Council", "Hidup Islam" dan "Batalkan Forum".

Mereka turut membawa sepanduk yang berbunyi "Jangan cabar Islam', “Jangan cetuskan kemarahan umat Islam demi keharmonian umat Islam", "Awas Persatuan Peguam, jangan bermain api" dan "Menjunjung keadilan, menyanggah kezaliman".

Turut kelihatan ialah pemimpin parti-parti komponen Pakatan Rakyat.

Mereka ialah Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub. Manakala pemimpin PKR yang kelihatan di situ ialah dua ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Badrul Amin Baharum dan Latheefa Koya.

Ketika itu, forum tersebut sedang berlangsung di dalam bangunan dan telah dirasmikan oleh Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga.

Antara ahli panel yang dijadual bercakap di forum tersebut ialah Pengarah Pusat Undang-undang Syariah dan Sains Politik, Institut Kefahamam Islam, Dr Wan Azhar Wan Ahmad dan peguam Syarie, Mohd Haniff Khatri Abdullah.

Tarik diri

Mohd Haniff mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam kes R Subashini. Yang lainnya ialah peguam K Shanmuga dan Ravi Nekoo, yang masing-masing mewakili Subashini dan S Shamala.

convertion forum protest 090807 angry man Bagaimanapun, seorang ahli panel - bekas hakim Syariah dan kini menjadi pegawai pendakwaraya Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan - telah menarik diri.

Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian turut berucap di perhimpunan bantahan tersebut.

"Kita dicabar di bawah Seksyen 121 (A). Mereka tahu undang-undang, tetapi mahu mencabar agama Islam.

"Kalau mereka hendak tahu (tentang) Islam, mereka boleh jumpa pegawai Jakim," katanya.

Manakala Badrul Amin berkata: "Jika orang tidak ganggu agama orang lain, kita akan akan hidup aman.

Polis berunding

"Kita tidak ganggu agama Kristian, agama Hindu dan Buddha dan kita meminta jangan menghasut rakyat dengan isu agama," tambahnya.

Sehingga jam 9.30 pagi ini, jumlah orang ramai yang datang menyertai perhimpunan bantahan tersebut telah bertambah kepada 500 orang.

Kira-kira jam 9.31 pagi, wakil NGO terbabit sedang berunding dengan Ketua Polis Dang Wangi, ACP Dzulkarnian Abdul Rahman.

bar council islamic forum controversy inccident 090808 04 Sebelum itu, seorang peserta mengatakan, jika forum tersebut tidak dihentikan, mereka akan merempuh masuk untuk menghentikan.

Kira-kira jam 9.35 tadi, seorang peserta memberitahu melalui pembesar suara bahawa mereka memberi masa sehingga jam 9.45 pagi supaya forum tersebut dihentikan.

Jika tidak, katanya, mereka akan masuk meminta peserta forum itu menghentikannya pada jam 10 pagi.

Rundingan dengan ACP Dzulkarnian tadi disertai oleh tiga wakil NGO dan Salahuddin Ayub.

Menurut laporan, antara NGO yang hadir ialah Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Jawatankuasa Penyelaras Perikatan NGO Islam (ACCIN), Persatuan Al-Hidayah, Belia Perkim, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Persatuan Al-Hunafa dan Persatuan Darul Fitrah Malaysia.

Turut sama ialah Persatuan Kebajikan Dakwah dan Islamiah (Pekida), Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia, Persatuan Seruan Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor, Persatuan Ulama Malaysia, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia, Yayasan Kerjaya Malaysia, Kelab Cinta Malaysia, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Persatuan Penjaja Kecil Wilayah Persekutuan. Lagi

Moments of chaos during forum

Malaysiakini
terkini untuk anda