Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan wakil pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) berhubung saranannya supaya pusat pengajian tinggi itu turut dibuka kepada bukan bumiputera.

khalid ibrahim Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas tindakan para pelajar UiTM yang berarak ke Bangunan SUK Selangor di Shah Alam pagi ini untuk menyerah memorandum kepada Khalid sebagai membantah syor tersebut.

Kumpulan pelajar tersebut mula berkumpul sejak jam 7.30 pagi tadi tetapi dimaklumkan bahawa menteri besar tiada dipejabat.

Mereka kemudiannya menyerahkan memorandum bantahan itu kepada wakil pejabat menteri besar Hasril Abu Hassan.

Menurut Abdul Khalid lagi, pelajar berkenaan mungkin belum faham sepenuhnya saranan yang dikemukakan oleh beliau itu.

Oleh itu, katanya, beliau ingin berjumpa dan mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan wakil pelajar UiTM untuk kebaikan bersama.

Katanya, beliau serta para exco kerajaan negeri bersedia untuk menghadapi perbincangan dengan wakil pelajar UiTM itu.

Berkongsi pengalaman

Menteri besar berkata perbincangan tersebut dijangka diadakan selepas pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh hujung bulan ini.

Abdul Khalid juga berkata, beliau percaya universiti telah semakin terbuka dan beliau berharap dapat bertemu pelajar bagi berkongsi pengalaman tentang pengurusan negeri tersebut.

Beliau juga diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa beliau (Khalid) tidak berhak membuat saranan seumpama itu.

"Memang saya tidak ada hak. Saya rasa Pak Lah pun sama juga," katanya.

Sebaliknya, tambah Abdul Khalid lagi, beliau cuma memberi pandangan dan "kalau tak diterima tak apa..."

Bagaimanapun, menteri besar menegaskan bahawa beliau ikhlas dalam membuat saranan tersebut.

"Tetapi dalam pandangan saya, lebih baik terima sebab kita sekarang berada dalam suasana global dan antarabangsa," tambahnya.

Semalam Menteri Besar Selangor dilaporkan mencadangkan 10 peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar di UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera serta pelajar asing.

Abdul Khalid berkata, cadangan itu akan dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut.

Menurut beliau, syor itu juga dianggapnya sebagai wajar dan tepat dengan usaha UiTM yang mahu melahirkan pelajar daripada golongan Melayu dan Bumiputera yang berdaya saing.

Bagaimanapun, kata Abdul Khalid, cadangan yang dilontarkan ini perlu difikirkan sedalam-dalamnya daripada semua aspek agar tidak bercanggah dengan dasar penubuhan IPT itu dalam melahirkan generasi bumiputera yang berilmu dan berdaya saing.

ADS