Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PAS boleh menyesuaikan agenda Islamnya dalam kerjasama bersama Pakatan Rakyat seperti DAP berbuat demikian, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Kita telah terima parti PAS. Saya pernah jadi setiausaha agung PKR. Kita telah terima parti PAS dan DAP sebagai rakan kita dalam politik.

"Kita terima hakikat bahawa PAS memperjuangkan pembangunan Islam, dan (hakikat) ini kita dapat sesuaikan dengan pembangunan negeri kita.

"Rakan kita dalam DAP (pula) memperjuangkan rakyat keseluruhannya. Dan ini (Pakatan) merupakan platform bersama," katanya, mengulas amaran Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang bahawa parti itu akan meninggalkan Pakatan Rakyat jika gabungan itu gagal melaksanakan idealisme Islam di peringkat persekutuan.

Abdul Hadi dilaporkan berkata demikian sebagai merujuk kemungkinan Pakatan membentuk kerajaan persekutuan selepas 16 September ini seperti sedang diusahakan oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap di sidang akhbar di Subang Jaya selepas menghadiri dialog bajet negeri itu bagi 2009, Abdul Khalid berkata:

“Dan saya rasa ucapan Tuan Guru Abdul Hadi itu menegaskan perlunya masyarakat Malaysia menerima perjuangan mereka untuk memperjuangkan agama Islam dan ummah sebagai salah satu perjuangan yang tidak boleh ditolak ansur.

"Dan kita (Pakatan) menerima hakikat tersebut."

Sementara itu, exco agama kerajaan negeri Datuk Dr Hassan Ali berkata kenyataan Abdul Hadi itu hanya satu kenyataan dan dalam proses perbincangan dengan rakan-rakan lain dalam Pakatan, sudah tentu ada “tolak-ansur”.

"Itu satu kenyataan. Dalam Pakatan ini, saya fikir, dalam musyawarah (mesyuarat) sudah tentu ada tolak ansur dan sebagainya. Apa pun dasar-dasar (PAS) itu perlu dipertahankan.

"Dan saya fikir untuk membawa dasar seperti itu, tentang ahli-ahli (Pakatan) yang lain, patut dihormati pendapat masing-masing. Dalam penghormatan itulah, saya fikir, kita dapat satu kesepaduan terhadap sesuatu matlamat yang kita perjuangkan," katanya, yang juga pesuruhjaya PAS Selangor.

Menjelaskan lanjut perkara itu, beliau berkata:

"Itu sebenarnya pendirian PAS tentang pemerintahan, tentang pentadbiran, sebab itulah (yang ada) dalam perlembagaan PAS. Maksudnya kalau kita membuat cadangan yang berlainan daripada itu, maka ia bertentangan dengan pendirian PAS."

ADS