Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
UiTM: MB S'gor, jangan kacau kami
Diterbitkan:  Aug 13, 2008 12:21 PM
Dikemaskini: 7:48 AM

Naib canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) meminta Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar tidak mencampuri urusan pentadbiran pusat pengajian tinggi untuk Bumiputera itu.

Datuk Seri Prof Dr Ibrahim Abu Shah berkata Abdul Khalid boleh menggunakan Universiti Industri Selangor (Unisel), kolej-kolej komuniti dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta lain jika mahu menolong golongan bukan Bumiputera.

Beliau menyifatkan kenyataan Abdul Khalid baru-baru ini supaya 10 peratus kuota kemasukan ke UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera dan pelajar asing sebagai "berunsur politik semata-mata".

Dr Ibrahim berpendapat menteri besar Selangor menggunakan isu itu bagi meraih sokongan orang bukan Melayu, seolah-olah kerajaan Pakatan Rakyat ini baik dan hendak menolong golongan berkenaan, lapor Bernama .

"UiTM merupakan salah satu daripada hak-hak istimewa orang Melayu di bawah Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan Canselornya ialah Yang di-Pertuan Agong sendiri.

"Apa yang pelik ialah isu pembukaan (kemasukan) ke institusi pengajian untuk Bumiputera ini kepada bangsa asing dibangkitkan oleh seorang Melayu sendiri, bukannya bangsa asing," naib canselor itu dipetik sebagai berkata dalam sidang media semalam.

Cadangan Abdul Khalid untuk menambahkan kuota bukan Bumiputera bagi menjadikan pelajar UiTM lebih mesra kepada masyarakat berbilang bangsa di luar kehidupan kampus dan kemudian menyediakan mereka kepada suasana pekerjaan dan meningkatkan daya saing hanyalah pandangan ahli politik itu dan bukannya fakta, kata Dr Ibrahim.

"Kes dia ini (Abdul Khalid) pada anggapan saya mungkin ada kaitan dengan pilihan raya kecil akan datang di Pulau Pinang (kawasan parlimen Permatang Pauh) supaya semua orang Melayu menyokong (penasihat PKR, Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan menang agaknya.

"Saya mungkin silap (tetapi) rayuan saya kepada rakan-rakan bukan Melayu supaya jangan mudah terpengaruh dan jangan berfikir secara sempit," katanya.

Ratusan pelajar UiTM telah berhimpun di depan bangunan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pagi semalam bagi menyerahkan memorandum bantahan mereka mengenai isu itu kepada Abdul Khalid.

Dr Ibrahim menambah, beliau percaya kira-kira 119,000 penuntut UiTM di seluruh negara dan 350,000 ahli alumninya juga tersinggung atau marah dengan kenyataan Abdul Khalid.

"Insya Allah saya akan mengadap Canselor (UiTM) Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin bagi memaklumkan baginda mengenai perkembangan ini," katanya, lapor agensi berita itu lagi.

ADS