Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jurufoto dipukul, Puteri Umno diraba
Diterbitkan:  Aug 16, 2008 7:15 PM
Dikemaskini: 2:09 PM

Jurugambar kumpulan Akhbar New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan seorang jurugambar agensi berita asing cedera dipukul sekumpulan penyokong parti politik sewaktu proses penamaan calon bagi pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh hari ini.

Menurut laporan Bernama, jurugambar NSTP itu dikenali sebagai Mohd Sairen Mohd Nafis, 26, dan manakala jurugambar agensi asing itu dikenali sebagai Halim Berbar.

Mohd Sairen memberitahu pemberita bahawa kejadian itu berlaku pada jam 1.30 tengah hari tadi, ketika beliau sedang merakamkan gambar petugas BN dalam kenderaan pacuan empat roda.

Tiba-tiba, katanya, dia diserang oleh 30 orang yang memakai baju-T parti PKR.

"Mereka menarik saya sehingga terjatuh dari pacuan empat roda," katanya sambil menambah dia ketika itu, sedang berdiri di atas kenderaan tersebut untuk mengambil gambar.

"Mereka kemudiannya mengheret saya kira-kira 15 meter sebelum tumbuk,terajang dan sepak di bahagian kepala, kaki, tangan dan badan saya," katanya.

Beliau berkata, kejadian ngeri itu berlaku kira-kira 10 minit sebelum beliau dibantu oleh Halim yang turut dipukul.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka berjaya diselamatkan oleh pihak polis yang menyedari kejadian itu, katanya.

Beliau cedera di bahagian tangan dan badan serta kehilangan kamera digital yang bernilai RM15,000 yang dipercayai dilarikan oleh kumpulan terbabit.

Sementara itu, Bernama juga melaporkan bahawa ada penyokong parti politik yang didakwa mengambil kesempatan meraba sekumpulan ahli Puteri Umno dan tidak cukup dengan itu, meludah mereka.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 pagi itu, hampir mencetuskan pergaduhan di antara penyokong kedua-dua parti tetapi keadaan tegang itu dapat dikawal oleh pasukan polis yang bertugas.

Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad mendakwa, sekumpulan lelaki yang memakai baju-T PKR serta membawa bendera parti itu telah meraba punggung beberapa ahli Puteri Umno semasa melalui belakang mereka.

Apabila ahli Puteri memarahi mereka, kumpulan lelaki itu telah meludah ke arah mereka menyebabkan ahli Puteri terbabit melaporkan insiden itu kepada polis yang membawa masuk anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) untuk mententeramkan keadaan, katanya.

"Kumpulan lelaki yang meraba dan meludah jentera Puteri Umno itu tak gentleman langsung. Mereka (lelaki) sepatutnya kena hormat dan melindungi golongan wanita, bukannya melakukan perkara tidak senonoh," katanya.

ADS