Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes liwat: Rumah Petra digeledah polis
Diterbitkan:  Aug 22, 2008 2:35 PM
Dikemaskini: 1:55 PM

Rumah pengendali blog popular Malaysia Today pagi ini diserbu polis, dilaporkan berhubung siasatan akuan berkanun seorang doktor Hospital Pusrawi dalam kes liwat yang didakwa membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

raja petra house raided by police 220808 03 Menurut laporan blog itu, sekumpulan polis menggeledah rumah Raja Petra Kamarudin dekat Bandar Baru Sungai Buloh mulai jam 8 pagi tadi.

Polis merampas sebuah komputer riba, alat pengimbas dan beberapa dokumen dalam serbuan selama dua jam, laporan itu dipetik.

Blog itu menyebut Raja Petra akan disiasat polis selepas pilihanraya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.

Akuan berkanun doktor hospital swasta itu Dr Mohamed Osman Abdul Hamid pertama kali muncul di Malaysia Today pada hari Anwar dituduh di mahkamah , 7 Ogos lalu.

Anwar diseret ke mahkamah sehari selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pilihanraya kecil itu yang diadakan selepas dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri Anwar.

Dalam akuan berkanunnya bertarikh 1 Ogos lalu, Dr Mohamed Osman berkata, beliau tetap berpegang kepada hasil pemeriksaannya ke atas Mohd Saiful Bukhari Azlan, pemuda yang mendakwa diliwat oleh Anwar.

raja petra house raided by police 220808 01 Akuan itu dibuat susulan penafian pihak majikannya yang menyatakan beliau tidak menjalankan pemeriksaan berkaitan liwat terhadap pemuda itu selepas salinan laporan pemeriksaan itu didedahkan kepada umum sehari sebelumnya.

Dalam laporan perubatannya, yang dibocorkan kepada media pada 28 Julai lalu, Dr Mohamed Osman menyatakan beliau tidak menemui sebarang bukti berlaku liwat selepas memeriksa Mohd Saiful.

Doktor itu memeriksa Mohd Saiful beberapa jam sebelum pemuda itu membuat laporan polis mendakwa diliwat pada 28 Jun lalu.

Mohd Saiful kemudiannya membuat pemeriksaan sekali lagi di Hospital Kuala Lumpur.

Selain mempertahankan pemeriksaannya, Dr Mohamed Osman juga mendakwa beberapa perenggan dan perkataan telah ditambah kepada kenyataannya kepada polis berkaitan perkara tersebut.

Menurut akuan berkanun doktor itu, dua pegawai polis mengambil keterangannya dalam tiga pertemuan bagi menyiasat kes tersebut.

Pada Julai lalu, kenyataannya diambil oleh ASP Rosmi Mat Derus daripada jabatan siasatan jenayah (CID) ibu pejabat polis daerah Brickfields.

raja petra house raided by police 220808 04 Katanya, beliau bertanya kepada pegawai polis berkenaan dalam pertemuan kedua mengapa nama Anwar tiba-tiba terdapat pada beberapa perenggan keterangannya yang ditaip semula oleh polis.

Sedangkan, menurut akuan Dr Mohamed Osman, nama penasihat PKR tidak pernah disebut sepanjang beliau memberi kenyataan dalam pertemuan awal dengan polis.

Menurut doktor itu lagi, seminggu kemudiannya, DSP Choo dari bahagian CID ibu pejabat polis daerah Dang Wangi juga mengambil kenyataannya.

Katanya, pegawai wanita berkenaan memintanya menceritakan semuanya sekali lagi, dan beliau menceritakan semua yang diketahuinya secara terperinci mengenai keseluruhan prosedur berkaitan dengan pemeriksaan yang dijalankan ke atas pesakit tersebut.

Menurutnya lagi, di peringkat permulaannya, DSP Choo memberi tanggapan bahawa beliau akan didakwa jika enggan bekerjasama dengan pihak polis.

Katanya, siasatan polis yang berterusan dalam kes berprofil tinggi itu mengganggunya sehingga beliau bimbang dengan keselamatan dirinya dan keluarganya.

Kira-kira seminggu selepas pertemuan kali ketiga dengan pihak polis, beliau memohon untuk bercuti dan meninggalkan Malaysia bersama keluarganya.

ADS