Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli enggan mengulas berhubung dakwaan di blog Anti Husam bahawa ahli parlimen Kuala Krai menyelewengkan sumber kewangan parti.

"Saya tidak mahu respons apa-apa. Saya ingat, (tuduhan) itu orang Umno yang tulis blog tersebut.

"Orang yang kita tidak tahu (latar belakangnya), macam mana kita nak respons," katanya kepada Malaysiakini petang ini.

Dalam tulisan pada tarikh 19 Ogos lalu, blog yang dibangunkan bagi menyerang habis-habisan naib presiden Datuk Husam Musa dan "kumpulan Erdogan", termasuk Dr Hatta, menyatakan akan membongkar penyelewangannya jika ada bukti yang cukup.

"Duit PAS sudah menjadi macam duit dia," dakwa blog itu, yang umumnya menentang barisan pemimpin kanan PAS yang dianggap kritikal kepada rundingan PAS-Umno dan lebih condong kepada Pakatan Rakyat.

Blog tersebut muncul menjelang muktamar PAS yang ke-54 di Ipoh pertengahan bulan ini dan dipercayai diwujudkan oleh orang dalam parti itu sendiri.

Dalam muktamar yang lalu, isu muqabalah telah menjadi perbahasan panas sehingga memperlihatkan kecenderungan dua aliran iaitu pro-muqabalah dan pro-kerjasama dalam Pakatan.

Blog itu mendakwa Husam mengepalai "kumpulan Erdogan" untuk menggagalkan pertemuan PAS-Umno selepas pertemuan dengan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dubai, Jun lepas.

Menurut blog itu, "kumpulan Erdogan" dianggotai oleh tokoh-tokoh pimpinan PAS antaranya setiausaha agung Datuk Kamarudin Jaafar, dua ahli jawatankuasa pusat Dr Dzulkifli Ahmad dan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Ketua Pemuda, Salahuddin Ayub.

Penulis blog itu menggelarkan Dr Hatta sebagai "biawak hidup" dalam PAS dan "orang macam Dr Hatta perlu disingkir."

Anti Husam mendesak presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta bendahari PAS itu berhenti atau memecatnya.

ADS