Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin sah pujuk Dr M kembali ke Umno
Diterbitkan:  Sep 9, 2008 2:41 PM
Dikemaskini: 4:31 PM

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau telah memujuk bekas presiden parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya kembali ke pangkuan Umno untuk membantu "menangani masalah' yang melanda parti.

"Saya memujuk beliau supaya kembali ke Umno. Beliau sedang menimbangnya," kata Muhyiddin kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Muhyiddin merupakan pemimpin nombor tiga selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, Dr Mahathir telah menjemput beliau ke kediamannya Sabtu lalu untuk menyuarakan kebimbangannya berhubung masalah yang melanda Umno selepas kalah teruk dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

"Saya beritahu sekiranya beliau mahu menangani masalah tersebut, maka beliau mesti kembali ke Umno," tambah Muhyiddin yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Katanya, beliau sedang menunggu pegawai Dr Mahathir menyerahkan semula secara rasmi borang keahlian kepada parti.

Ditanya sama ada tindakannya itu dapat diterima oleh pemimpin Umno yang lain, terutama mereka yang menjadi sasaran kecaman Dr Mahathir, Muhyiddin berkata, beliau yakin ia bukannya satu isu.

Katanya, ia kerana ramai yang sedih apabila Dr Mahathir keluar parti.

Oleh itu, Muhyiddin yakin mereka bersedia menerima Dr Mahathir kembali semula ke Umno.

Dr Mahathir keluar parti pada 19 Mei selepas kecewa dengan kepimpinan Abdullah.

Mantan perdana menteri itu berkata, beliau akan kembali semula ke Umno selepas Abdullah digantikan oleh pemimpin lain.

Baca berita penuh

ADS