Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zaid: Muhyiddin letak jawatan atau disingkir
Diterbitkan:  Sep 12, 2008 11:07 PM
Dikemaskini: 3:08 PM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Zaid Ibrahim berkata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hendaklah meletak jawatan atau disingkirkan jika tidak berpuas hati dengan tempoh peralihan kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang ditetapkan pada 2010.

"Mudah sahaja, jika Muhyiddin tidak puas hati dengan perdana menteri, beliau boleh letak jawatan kabinet, ini bermakna beliau tidak yakin dengan Pak Lah (Abdullah)...tidak, saya tidak cadang untuk beliau berbuat demikian.

"Saya kata jika beliau tidak gembira dengan Pak Lah, jika beliau tidak yakin dengan Pak Lah, dua perkara akan berlaku sama ada letak jawatan atau Pak Lah hendaklah singkir beliau, itu yang sepatutnya berlaku," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pameran lukisan Wang Lan, Wang Xu dan Shen Jiawei di Galeri Petronas hari ini.

Rabu lalu, Muhyiddin, yang juga naib presiden Umno itu berkata pelan peralihan yang dipersetujui Abdullah dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jun lepas, hendaklah dipercepatkan memandangkan keadaan politik yang tidak stabil di negara dan tempoh itu terlalu lama, demikian menurut laporan Bernama.

Di bawah rancangan itu, Abdullah menyerahkan jawatan perdana menteri, pengerusi Barisan Nasional (BN) dan presiden Umno kepada Najib pada Jun 2010.

Semalam, Abdullah berkata beliau terkejut dengan kenyataan Muhyiddin kerana pelan peralihan itu difahami dan dipersetujui oleh Majlis Tertinggi Umno dan kabinet.

Hari ini, Najib berkata pelaksanaan pelan itu adalah di tangan ahli Umno, tulang belakang parti BN, yang akan mengadakan mesyuarat bahagian dan pemilihan parti tahun ini.

Zaid berkata respon itu bukan ditujukan khas kepada Muhyiddin tetapi sebagai satu pemerhatian am.

"Ia ditujukan bukan hanya kepada Muhyiddin tetapi kepada saya juga. Jika saya tidak gembira saya sepatutnya letak jawatan atau Pak Lah tidak gembira dengan saya, beliau hendaklah menyingkirkan saya," tambahnya.

ADS