Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rahim: MT bincang peralihan kuasa Khamis ini
Diterbitkan:  Sep 13, 2008 1:09 PM
Dikemaskini: 5:37 AM

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno Khamis ini akan membincangkan mengenai peralihan kuasa, kata ahli MT, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

rahim thamby chik Beliau yang juga Pengerusi Risda berkata mesyuarat itu akan membincangkan perkara itu secara lebih rasional dan terbuka, ikhlas dan jujur berasaskan fakta yang betul, tepat dan berasas untuk masa depan pemimpin Umno.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya pemimpin Umno jangan membuat sebarang kenyataan lagi berhubung peralihan kuasa yang dijadual pada Jun 2010.

"Saya meminta kalau boleh pemimpin-pemimpin Umno jangan membuat kenyataan lagi sehingga Majlis Tertinggi bersidang," katanya kepada pemberita semalam.

Bernama memetik beliau sebagai berkata, semua tahu bahawa tradisi Umno adalah amat rasional, waras dan bijak memandu hala tuju parti.

"Kita mempunyai pandangan dan berbagai pendapat mengenai perkara tersebut, saya percaya ahli Majlis Tertinggi telah menilai pandangan hasrat dan cita rasa ahli di bawah," katanya.

Menurutnya, jika MT membuat keputusan, kepentingan yang lebih besar akan mengatasi masalah yang lebih kecil seperti yang diharapkan oleh seluruh penyokong dan pendokong Umno di seluruh negara.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memikirkan semula tempoh peralihan kuasa memandangkan tarikh yang dijadualkan pada 2010 adalah terlalu lama.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula dilaporkan berkata, terserah kepada ahli Umno untuk memutuskan bilakah peralihan kuasa daripada Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

ADS