Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Presiden: PM mahu Umno pilih Najib
Diterbitkan:  Oct 13, 2008 2:34 PM
Dikemaskini: 8:08 AM

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini meminta anggota Umno agar memberikan sokongan kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak sebagai presiden parti itu yang baru pada pemilihan Mac depan.

"Saya nak Datuk Seri Najib mengganti saya, saya nak supaya anggota-anggota parti beri sokongan kepada beliau dan saya percaya beliau boleh jadi pemimpin yang baik," kata perdana menteri selepas menyampaikan ucaptama di Forum Serantau

Amerika Syarikat dan Dunia Islam di Kuala Lumpur.

Tambahnya, lapor Bernama , beliau gembira dengan keputusan

yang dibuat oleh 28 bahagian Umno yang bermesyuarat setakat ini untuk mencalonkan Najib sebagai presiden parti.

"Sudah tentu saya perlu gembira kerana mereka menyokong beliau. Itu adalah baik," katanya.

Menjawab soalan berhubung dakwaan laman web Malaysia Today bahawa Najib telah menyalahguna kuasa dan campur tangan dalam siasatan pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibu, Abdullah berkata beliau tidak percaya Najib telah menyalahguna kuasanya.

"Saya tidak percaya Datuk Seri Najib mahu untuk salah guna kuasa, jika beliau seorang yang cenderung untuk menyalahguna kuasa, kalau begitu bagaimana beliau akan menjadi pengganti saya.

"Saya percaya dengan beliau, saya percaya beliau seorang yang baik dan akan menjadi perdana menteri yang baik dan mampu untuk memberikan kepimpinan yang baik, jadi saya tidak percaya beliau terlibat dalam salah guna kuasa," kata Abdullah.

Laporan di blog itu memperincikan dakwaan pertukaran mesej teks SMS di antara Najib dan Datuk Shafee Abdullah, peguam

terkemuka yang mewakili Abdul Razak Baginda sebelum didakwa bersubahat dengan dua pegawai polis dalam pembunuhan Altantuya.

ADS