Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM ambil senapang, beri Najib jelapang
Diterbitkan:  Oct 20, 2008 4:35 PM
Dikemaskini: 8:48 AM

Perdana menteri dan timbalannya hari ini bertukar-tukar jenaka sewaktu majlis penyerahan portfolio di Kementerian Kewangan kepada Kementerian Pertahanan.

"Ada orang Umno tanya saya, kenapa Pak Lah bagi jelapang, ambil senapang," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kini menteri pertahanan selepas mengambil alih daripada Datuk Seri Najib Razak bulan lepas, secara berseloroh.

Jelapang yang dimaksudkan merujuk Kementerian Kewangan yang diumpamakan "jelapang duit", sementara senapang merujuk Kementerian Pertahanan, lapor Bernama .

Terdahulu ketika berucap di majlis itu, Najib berkata:

"Perbezaan antara jadi menteri pertahanan dan menteri kewangan ialah apabila menjadi menteri pertahanan, tengah malam dapat panggilan telefon pasal plane crash tapi jadi menteri kewangan, tengah malam dapat panggilan telefon pasal market crash ."

Menyampaikannya secara berseloroh, Najib menceritakan jawapan nya ketika ditanya oleh orang ramai sebelum ini mengenai perbezaan antara menjadi menteri kewangan dan menteri pertahanan.

"Apabila orang tanya saya lagi, mana yang lebih teruk? Plane crash atau market crash ?

"Saya kata market crash lebih teruk sebab orang masih hidup," katanya, lapor agensi berita itu lagi.

Mereka berdua berkata demikian di majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri 2008 dan majlis penghargaan kepada Abdullah sebagai bekas menteri kewangan serta meraikan Najib di Kementerian Kewangan.

Perdana menteri, yang mengumumkan akan meletakkan jawatan Mac tahun depan, mengakhiri ucapannya dengan berpantun:

"Bunga selasih tak akan layu. Terima kasih. Thank you ."

Di majlis itu, Abdullah menyerahkan nota tugas sebagai menteri kewangan kepada Najib.

ADS