Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Lembaga Disiplin Umno yang bermesyuarat hari ini mengumumkan bahawa tiga ahli Umno, termasuk ketua Umno bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail, didapati bersalah melakukan sabotaj sewaktu pilihanraya umum Mac lalu.

Dua lagi ialah Isang Rawai dari Kota Marudu, Sabah dan Mohd Samsuddin Dawam (Ledang).

Isang bertanding sebagai calon bebas dalam pilihanraya umum lalu manakala Mohd Samsuddin pula telah menjadi wakil kepada calon PAS.

ishak ismail Berikutan itu, pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen berkata Ishak (foto) elah diberi amaran.

Manakala lembaga tersebut akan mencadangkan kepada Majlis Tertinggi Umno supaya memecat Isang dan Mohd Samsuddin.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibunegara, Tengku Ahmad berkata, ini kerana lembaga disiplin tidak mempunyai kuasa untuk memecat mereka.

Katanya, 12 lagi turut disiasat atas tuduhan berkaitan dengan politik wang, salahguna kuasa dan salah tingkahlaku sewaktu pemilihan di cawangan yang lalu.

Menurutnya, siasatan mendapati lima daripada mereka bersalah dan diberi amaran manakala tujuh lagi didapati tidak bersalah.

Mereka yang didapati bersalah ialah Datuk Mustaffar Kamal Abdul Hamid dari bahagian Raub, Datuk Abdullah Abu Bakar (Raub), Alias Kussin (Labuah), Datuk Yunus Kurus (Labuan) serta ketua Umno bahgaian Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Manakala tujuh lagi yang didapati tidak bersalah ialah Datuk Ahmad Yassin (Ledang), Jaafar Ahmad (Ledang), Shahril Ismail (Tanjung Piai), Jamilah Endan (Tanjung Piai), Jelin Dasanap @ Jelani bin Hamdan (Kota Marudu), Majial Mangulizang (Kota Marudu) dan Kampun Inok (Kota Marudu.

Tengku Ahmad berkata, jumlah keseluruhan aduan yang diterima oleh lembaga disiplin ialah 632 kes dan 135 aduan telah disiasat.

ADS